Sunday, May 22, 2022

Kerajaan digesa telus, kenakan fi ‘berpatutan’ dalam pengambilan amah menjelang MoU Malaysia-Indonesia

Kebimbangan timbul berhubung fi sebanyak RM10,000 higga RM15,000 bagi seorang pekerja termasuk levi dan kos kuarantin.

Other News

Persatuan dan pertubuhan sokongan mewakili pembantu rumah tempatan dan asing di negara ini menggesa supaya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia bulan depan untuk lebih telus, menyuarakan kebimbangan mengenai bayaran fi pengambilan pekerja asing.

Dalam satu kenyataan, NGO Kearah 189 menyifatkan bayaran fi yang dikenakan bagi setiap pekerja sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 termasuk levi dan kos kuarantin sebagai “berlebihan”.

“Kos ini bahkan tidak disediakan dalam princian struktur kos, dan ia menimbulkan persoalan siapa yang akan menanggung jumlah kos ini,” katanya.

“Fi yang berlebihan terhadap amah menjadikan mereka lebih terdedah untuk dieksploitasi.”

Kearah 189 turut menggesa fi pengambilan pekerja ditetapkan pada kadar berpatutan, selain turut menambah Malaysia dan Indonesia mesti memastikan kos tersebut tidak ditanggung pekerja tersebut.

MoU antara Malaysia dan Indonesia ditandatangani buat kali pertama pada 13 Mei 2006, dengan protokol pemindaan perjanjian yang dimeterai pada 31 Mei 2011.

Ia bagaimanapun tamat tempoh pada 30 Mei 2016.

Pada 10 Januari, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata perbincangan sedang dijalankan antara kedua-dua negara yang antara lain turut menyentuh isu mengawal kos membawa masuk pembantu rumah.

Beliau menafikan kos membawa masuk pembantu rumah mencecah sehingga RM25,000, sambil menambah bayaran RM1,136 bagi pengambilan amah kali pertama hanya melibatkan kos imigresen.

Kearah 189 berkata elemen ketelusan adalah penting dalam menetapkan jumlah fi pengambilan amah di bawah pemeteraian MoU baru tersebut.

“Kearah 189 menyedari tentang bahaya fi pengambilan pekerja yang tinggi dan kesannya terhadap jumlah kerja yang perlu dilakukan oleh seorang pekerja,” katanya.

“Ketelusan akan membolehkan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak berkepentingan. Kami percaya dengan cara ini kepentingan pekerja boleh didengari.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles