- Iklan -
Berita

Johor kekalkan SOP solat jarak setengah meter

Menurut exco agama Johor, kerajaan negeri tidak akan mengubah SOP itu yang baru berkuat kuasa 7 Januari lepas selain tidak mendapat sebarang arahan dari Sultan Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SOP penjarakan fizikal ketika solat dijalankan bagi membendung wabak Covid-19.
SOP penjarakan fizikal ketika solat dijalankan bagi membendung wabak Covid-19.

Johor akan terus mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dengan jarak satu setengah meter meskipun terdapat penularan Covid-19 di sebuah masjid baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Tosrin Jarvanthi berkata kes yang melibatkan kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana tidak akan mengubah SOP itu yang baru berkuat kuasa 7 Januari lepas.

“Setakat ini kami kekalkan jarak setengah meter di masjid walaupun ada kes di Pulai Perdana.

“Ia tidak berkait rapat dan tiada sebarang arahan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (berhubung SOP solat). Jadi kami kekalkan jarak setengah meter,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Misi Bantuan Pascabanjir hari ini.

Mengulas lanjut Tosrin berkata pihaknya juga sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada kementerian kesihatan (KKM) berhubung 47 kes positif yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana.

“Saya difahamkan kes di Pulai Perdana ini melibatkan jemaah (di Johor) yang baru balik menunaikan umrah. Justeru itu kami akan dapatkan maklumat terperinci daripada KKM,” katanya.