- Iklan -
Berita

PH pertingkat serangan terhadap Azam, sasar seorang lagi dari SPRM

Gabungan itu kini mahu Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Borhan Dolah Borhan Dolah disiasat dan direhatkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota PKR berhimpun di luar ibu pejabat SPRM, Putrajaya semalam bagi menggesa Azam Baki meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya. Gambar: Facebook
Anggota PKR berhimpun di luar ibu pejabat SPRM, Putrajaya semalam bagi menggesa Azam Baki meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya. Gambar: Facebook

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) menambah seorang lagi dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke dalam senarai individu yang perlu digantung daripada menjalankan tugas, susulan gesaan serupa terhadap ketua pesuruhjayanya Azam Baki dan ketua penasihat agensi itu Abu Zahar Ujang.

Gabungan pembangkang itu berkata Borhan Dolah, yang merupakan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), harus direhatkan dan diganti dengan pemimpin yang baru, mendakwa beliau dan Abu Zahar secara salah membebaskan Azam daripada tuduhan blog berkait pemilikan saham.

Selain Abu Zahar dan Borhan, PH turut mengkritik timbalan ketua pesuruhjaya SPRM kerana mempertahankan Azam.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap ketua pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya,” kata empat pemimpin utama PH itu dalam sebuah kenyataan.

Sebelum ini, Abu Zahar yang merupakan pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkata Azam tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam pembelian saham daripada beberapa syarikat pada 2015.

Beliau berkata lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan Azam sendiri dan siasatan lanjut tidak akan dilaksanakan.

Namun sekumpulan anggota LPPR telah menjarakkan diri daripada kenyataan yang dibuat oleh Abu Zahar tersebut.

Beliau kemudiannya menjadi sasaran serangan PH yang menggesanya digantung tugas sepanjang siasatan dijalankan.

Semalam, Abu Zahar yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Negara itu berkata beliau tiada apa-apa untuk disembunyikan berhubung keputusan membersihkan Azam daripada dakwaan tersebut.

Beliau turut menambah dirinya sedia disiasat oleh beberapa agensi atau jika diarahkan sanggup untuk meletakkan jawatan.

Isu mengenai pemilikan saham oleh Azam itu timbul susulan beberapa artikel oleh Lalitha Kunaratnam yang merupakan seorang aktivis dan mempunyai kaitan dengan C4 Center, sebuah NGO diketuai aktivis Cynthia Gabriel, sementara felo pengarahnya, Edmund Terence Gomez juga turut meletakkan jawatan sebagai salah seorang anggota panel PPPR diketuai Borhan.

Beberapa artikel oleh Lalitha mendakwa wujud konflik kepentingan dalam pemilikan saham Azam.

Berikutan penerbitan artikel tersebut, ketua pesuruhjaya SPRM itu kemudiannya menghantar surat tuntutan terhadapnya.

Laporan polis turut dibuat oleh SPRM yang menyifatkan dakwaan oleh Lalitha tersebut adalah palsu dan tidak mengemukakan bukti.