- Iklan -
Berita

Apabila seksisme dipisahkan oleh garis politik

Budaya pengenyahan sering menjadi cara untuk menyerang mereka yang dilihat tidak selari dengan ideologi tertentu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi

Kenyataan-kenyataan berbaur seksis di Malaysia bukan perkara baru terutama melibatkan ahli-ahli politik di Malaysia, bahkan kenyataan sedemikian juga sering mencemari Dewan Rakyat di Parlimen.

Pada 2007 misalnya, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin menggunakan istilah “bocor” di Parlimen bagi menggambarkan menstruasi wanita.

Begitu juga apabila Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman pada 2016 menggunakan perkataan jelik “the only woman with ‘kok'” terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP.

Pada 2020 pula, Azeez Rahim yang juga ahli Parlimen Baling yang mengeluarkan kenyataan terhadap ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dari DAP berhubung warna kulitnya pada 2020.

Ketiga-tiga ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu mendapat kecaman banyak kumpulan hak wanita dan ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Walaupun kritikan dan kecaman hebat terhadap mereka, namun perkara yang sama tidak dilihat ketika individu yang menjadi sasaran kenyataan seksis itu adalah daripada blok kerajaan.

Baru-baru ini Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Rina Harun yang bukan sahaja dilemparkan dengan kenyataan-kenyataan berbaur seksis, tetapi turut diserang dengan “ejekan tubuh” atau “body shaming” tanpa mendapat pembelaan.

Semasa banjir buruk melanda pada Disember, Rina dikritik teruk kerana aksinya menyembur kawasan sekolah menggunakan peralatan “water-jet” sehingga mengundang komen-komen biadap, seksis dan tidak menghormati statusnya sebagai seorang wanita.

Salah satunya keluar daripada bekas menteri Kabinet, Zaid Ibrahim yang mempertikaikan status perkahwinan Rina dalam laman Twitternya.

Namun tidak kendengaran pembelaan ahli-ahli politik melainkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang bangkit mempertahankan penghinaan yang dilemparkan terhadap Rina walaupun berada di dua kem politik yang berbeza.

Katanya, Rina wajar dikritik kerana tidak bekerja dengan baik namun kenyataan bernada seksis tidak boleh digunakan untuk menjatuhkan ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Katanya, pendapat yang adil dan tajam boleh dinyatakan namun kebanyakan komen menyentuh hal peribadi, rasis, dan serangan bersifat seksis.

“Kita perlu menghormati orang lain selain berani memberi komen atau menyatakan perbezaan.

“Kebanyakannya komen-komen bukan hanya bersifat seksis terhadap wanita, malah dengan niat menjatuhkan individu atau mendiamkan orang lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan Rina, namun menyeru semua pihak untuk tidak merendahkan darjat dengan kenyataan berbaur seksis.

“Apa kaitan status perkahwinan dengan acara tersebut?” soalnya sebagai respons terhadap kenyataan Zaid yang sebelum ini sering memperlihatkan dirinya sebagai seorang Melayu liberal.

Tegas Maria, pendirian menentang seksisme harus merentas sempadan parti, individu dan kumpulan.

Sebelum ini apabila terdapat kenyataan seksis terhadap ahli politik wanita pembangkang, pemimpin-pemimpin dari DAP dan PKR akan bangkit dan menjadikannya sebagai isu nasional.

Selain persoalan seksisme, ia juga menimbulkan persoalan sama ada arus budaya pengenyahan atau “cancel culture” yang mekar di Barat juga turut melanda Malaysia.

Beberapa selebriti atau tokoh yang terkena tempias budaya ini di Barat termasuklah penulis Harry Potter, J K Rowling dan pengacara terkenal, Ellen DeGeneres.

Pensyarah komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa Shafizan Mohamed berkata, kewujudan media sosial mengakibatkan ramai pihak boleh berkata apa sahaja tanpa perlu memikirkan secara mendalam apakah implikasinya.

“Mereka tidak sedar apa yang mereka akta itu ada tindak balas, cumanya tindak balas itu ialah secara tidak langsung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, dalam kes Rina, memang ramai pihak berasa tidak berpuas hati atau marah namun sesetengah pihak terus melepaskan emosi itu tanpa berfikir panjang.

Ini kerana media sosial “memisahkan” tubuh fizikal dan kenyataan yang ditulis di platform dalam talian.

“Cuba kita berdepan secara bersemuka dengan beliau, adakah kita akan cakap seperti yang kita tulis? Mungkin tidak, kerana fizikal kita berada di situ.”

Pegawai Komunikasi pertubuhan Sister in Islam, Aleza Othman berkata budaya pengenyahan merupakan salah satu cara untuk memastikan seseorang itu bertanggungjawab atas tindakan mereka.

“Akan tetapi, kritikan terhadap ahli politik dan menteri perempuan seringkali disulami dengan kenyataan-kenyataan seksis oleh pelbagai pihak.

“Kritikan yang dilontarkan terhadap Rina Harun sepatutnya dilakukan atas dasar peranan, tanggungjawab dan tindakan beliau sebagai seorang menteri,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Shafizan, fenomena budaya pengenyahan digerakkan oleh generasi internet yang disifatkan sebagai “woke”, satu istilah yang digunakan bagi merujuk anak muda yang celik internet dan kesedaran terhadap satu-satu isu.

“Mereka fikir mereka lain dengan generasi sebelumnya.

“Apa sahaja yang dirasakan tidak selari dengan idealism mereka, mereka akan mula menyerang individu tersebut atas nama kesedaran politik dan budaya,” katanya.