- Iklan -
Berita

Rosmah mohon gantung prosiding bicara kes pengubahan wang haram

Permohonan tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan esok.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Rosmah Mansor memfailkan permohonan untuk menggantung prosiding perbicaraan kes pengubahan wang haram (Amla) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihadapinya yang dijadualkan bermula Rabu ini.

Rosmah, 69, selaku pemohon memfailkan notis usul itu menerusi Tetuan Geethan Ram di Mahkamah Tinggi dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden. Peguam Geethan Ram Vincent ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara itu.

Hasil semakan sistem mahkamah, permohonan tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan, Rabu ini.

Dalam notis usul itu, Rosmah memohon perintah bahawa kesemua prosiding dalam kes terbabit digantung sehingga rayuan berhubung keputusan hakim Zaini yang menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan, didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Sementara itu, menerusi afidavit yang difailkan bersama notis usul itu, Rosmah antara lain mendakwa jika Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Zaini bukan hakim yang sesuai untuk mendengar kes terhadapnya, maka perbicaraan kes berkenaan akan menjadi sia-sia, sekiranya perbicaraan telah berjalan.

Dakwa Rosmah, sekiranya perbicaraan kes itu diteruskan, ia akan melanggar hak asasinya di mana beliau akan mengalami kemudaratan yang tidak boleh diperbetulkan jika perbicaraan tersebut diisytiharkan terbatal kelak.

Pada 14 Disember lepas, Zaini menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan cukai yang dihadapinya dan menetapkan perbicaraan bermula pada 12 Januari ini.

Pada 2 November lalu, Rosmah memfailkan permohonan supaya Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan LHDN atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar yang dihadapinya dan dibicarakan di hadapan hakim sama (Zaini) secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim itu dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.