- Iklan -
Berita

Pelantikan Azam teratur, ikut peraturan, kata Muhyiddin

Menurut Muhyiddin, jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti ketua pesuruhjaya tidak dibuat secara mudah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Proses lantikan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mac 2020 adalah teratur mengikut peraturan, kata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya Azam menerajui SPRM ketika beliau adalah perdana menteri bagi mengisi kekosongan setelah Latheefa Koya yang meletak jawatan pada Mac 2020 dan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Proses lantikan itu teratur mengikut peraturan. Mana-mana jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti itu tidak dibuat secara begitu mudah.

“Ia harus melalui satu proses dan ia diperakukan oleh sebuah jawatankuasa yang mana ketua setiausaha negara (Mohd Zuki Ali) dalam kes ini mengemukakan cadangan nama, bukan saya pilih,” katanya ketika diminta mengulas sama ada latar belakang Azam diperiksa sebelum dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) semalam, Muhyiddin berkata apabila ketua setiausaha negara mencadangkan nama dan diteliti dalam jawatankuasa, ia menunjukkan pelantikan Azam mematuhi dan memenuhi kriteria.

“Memang betul dan teratur, jadi jangan dikaitkan dengan proses itu dengan kes yang kita dengar sekarang ini. Is all in order (Semuanya teratur) dan telah diperkenankan Agong. Saya tidak fikir ada apa-apa kesalahan dari segi prosedur pelantikan,” katanya.

Sementara itu ditanya sama ada terdapat ahli Bersatu yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata mereka yang memimpin parti itu tidak menyertai Bersatu.

Menurutnya, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon adalah bekas ahli PKR yang meninggalkan parti itu dan menyokong Perikatan Nasional tetapi tidak menyertai Bersatu.

“Bagi saya kesannya tidak besar mana pun. Saya tidak rasa terkesan dengan pembentukan parti PBM,” katanya.