- Iklan -
Berita

3 hari selepas bedah, penerima organ jantung khinzir kini stabil

Pembedahan pemindahan jantung haiwan itu menggunakan teknologi pengubahsuaian jujukan genetik.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dikeluarkan Universiti Perubatan Maryland pada 10 Januari, 2022 memaparkan pembedahan pemindahan jantung khinzir dengan teknologi pengubahsuaian genetik kepada pesakit David Bennett di Baltimore, Maryland. Gambar: AFP
Gambar yang dikeluarkan Universiti Perubatan Maryland pada 10 Januari, 2022 memaparkan pembedahan pemindahan jantung khinzir dengan teknologi pengubahsuaian genetik kepada pesakit David Bennett di Baltimore, Maryland. Gambar: AFP

Pesakit warga Amerika Syarikat (AS) yang menjalani pembedahan pemindahan jantung khinzir menggunakan teknologi pengubahsuaian genetik, berada dalam keadaan stabil selepas tiga hari pembedahan.

Pembedahan kendalian sepasukan pakar dari Universiti Perubatan Maryland itu adalah yang pertama dilaksanakan, menggunakan jantung khinzir menerusi teknologi pengubahsuaian jujukan genetik.

Sekiranya terbukti berjaya, saintis menaruh harapan jantung khinzir berupaya membantu menangani isu kekurangan organ penderma.

Pakar bedah, Dr Bartley Griffith, yang bertanggungjawab di sebalik pembedahan bersejarah itu berkata jantung khinzir berpotensi untuk merungkai masalah kekurangan penderma organ, memandangkan mereka lazimnya terpaksa menunggu lama bagi mendapat peluang menerima organ baharu.

“Kita melakukan proses ini dengan berhati-hati, tetapi optimistik bahawa pembedahan yang pertama seumpamanya ini bakal memberikan pilihan baru yang penting kepada pesakit pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagi pesakit berusia 57 tahun, David Bennett dari Maryland, pembedahan pemindahan jantung itu adalah pilihan terakhir baginya.

“Ia situasi hidup mati atau menjalani pemindahan ini. Saya mahu terus hidup. Saya tahu peluang tipis, tetapi ini saja pilihan yang tinggal,” katanya sehari sebelum pembedahan, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan universiti berkenaan.

Bagi meneruskan pembedahan yang masih dalam fasa kajian itu, Universiti Perubatan Maryland memperoleh kebenaran daripada Jabatan Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) AS, pada penghujung tahun lalu menerusi program penyelidikan.

“FDA gunakan data kajian khinzir untuk membenarkan pemindahan organ terhadap pesakit jantung tahap akhir yang tidak mempunyai pilihan lain,” kata Dr Muhammad Mohiuddin, yang mengetuai program xenotransplan Universiti Perubatan Maryland.

Berdasarkan perangkaan dari organdonor.gov, kira-kira 110,000 rakyat AS ketika ini dalam senarai menunggu sebagai penerima organ dan lebih 6,000 pesakit dilaporkan meninggal dunia sebelum sempat menerima organ.

Khinzir sejak sekian lama menjadi potensi pemindahan organ kerana mempunyai organ yang sangat berpadanan dengan manusia.

Jantung khinzir contohnya, ketika disembelih, mempunyai saiz bersamaan dengan jantung lelaki dewasa.

Organ lain daripada khinzir ketika ini dalam fasa kajian untuk tujuan penggantian organ manusia, termasuk buah pinggang, hati dan paru-paru.

Usaha pemindahan organ khinzir kepada manusia sebelum ini gagal berikutan perbezaan genetik yang akhirnya mengundang risiko jangkitan virus atau penolakan sistem tubuh badan.

Saintis berjaya merungkai masalah itu dengan menggunakan teknologi pengubahsuaian genetik yang menyingkirkan genetik berbahaya.