- Iklan -
Berita

2.2% lagi tinggal bagi lengkapkan vaksinasi dewasa

99% daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada pekerja-pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi dos kedua di Sepang.
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi kepada pekerja-pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi dos kedua di Sepang.

Seramai 22,886,013 individu atau 97.8% daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, menjadikan hanya 2.2% lagi diperlukan untuk mencapai angka 100%.

Berdasarkan data kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow, seramai 23,170,208 individu atau 99% daripada kumpulan itu juga sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,767,385 individu atau 87.9% daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,857,194 individu atau 90.8% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sejumlah 223,463 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 3,273 dos pertama, 2,114 dos lengkap dan 218,076 dos penggalak.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 59,511,395 dos dengan 8,032,484 daripadanya adalah dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, sebanyak 18 kes kematian direkodkan semalam dengan dua daripadanya adalah kematian di luar hospital.

Daripada keseluruhan 18 kes kematian itu, empat direkodkan di Johor; Kedah (tiga), Pahang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing mencatatkan dua kematian manakala satu kes di Kelantan, Melaka dan Perak.