- Iklan -
Berita

Warga Belgium kecam peraturan baru Covid-19, ‘diktator vaksin’

5,000 penunjuk perasaan berarak di Brussels bagi membantah peraturan Covid-19 baru kerajaan Belgium.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa tunjuk perasaan diadakan di Brussels, ibu negara Belgium bagi membantah peraturan baru Covid-9 yang mahu dilaksanakan kerajaan. Gambar: Bernama
Beberapa tunjuk perasaan diadakan di Brussels, ibu negara Belgium bagi membantah peraturan baru Covid-9 yang mahu dilaksanakan kerajaan. Gambar: Bernama

Ribuan penunjuk perasaan berarak di Brussels semalam bagi menentang peraturan anti Covid-19, ketika kerajaan Eropah mempertimbangkan peraturan lebih ketat dalam menghadapi gelombang varian Omicron.

Bagaimanapun, tiada keganasan berlaku di ibu kota Belgium itu seperti yang pernah belaku sebelum ini walaupun polis bertindak mengepung sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang cuba mendekati ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU).

Perhimpunan kira-kira 5,000 peserta diiringi polis itu melaungkan “bebas, bebas!” serta mengibarkan sepanduk “diktator vaksin”, mengecam tindakan kerajaan berhubung pelaksanaan peraturan baru itu.

Sebelum himpunan bermula, polis menahan 11 suspek yang didapati membawa mercun, sementara 30 lagi tangkapan dibuat pada penghujung himpunan selepas sekumpulan kecil melemparkan objek ke arah pegawai rusuhan.

Belgium mewajibkan penduduk menunjukkan sijil Covid-19 untuk memasuki bar, restoran dan acara kebudayaan.

Ibu negara Belgium itu juga turut menyaksikan beberapa himpunan protes seumpama itu sebelum ini.

Semalam, Menteri Kesihatannya, Frank Vandenbroucke dalam temu bual televisyen, berkata beliau akan memanggil satu perbahasan khas di parlimen mengenai peraturan lebih ketat berhubung pandemik ketika Belgium menyaksikan lonjakan kes Covid-19.

“Fikiran orang ramai berubah. Setahun yang lalu, saya menjelaskan vaksinasi wajib bukan idea yang baik, kita perlu yakinkan orang ramai.

“Sekarang, kami benar-benar mengetahui kita perlu vaksinasi 100% penduduk, di mana ia bukan idea kami setahun lalu. Dulu, kami fikir 70% divaksin sudah cukup,” katanya.

Katanya, ia bukanlah idea yang mungkin mendapat sokongan dalam kalangan penunjuk perasaan, yang turut membawa bendera pelbagai kumpulan politik, namun dilihat bersatu menentang langkah mewajibkan vaksin.

Danielle, seorang penunjuk perasaan berkata pengurusan krisis tidak masuk akal yang begitu menjejaskan kebebasan hanya akan menyerupai sistem di China jika rakyat biarkan ia dilaksanakan.

Beberapa himpunan tunjuk perasaan sebelum ini mencetuskan pertempuran dengan polis, memaksa pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air, namun himpunan semalam berjalan dengan lebih teratur dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Polis rusuhan turut memasang kawat duri di sepanjang jalan menuju bangunan ibu pejabat EU dan menggunakan dron serta dua trak meriam air.

Antara 30 Disember dan 5 Januari lalu, Belgium merekodkan purata 17,513 kes jangkitan harian Covid-19.

Jumlah itu meningkat 96% pada minggu sebelumnya dan 169 kemasukan ke hospital sehari turut direkodkan di mana ia meningkat sebanyak 28%.