- Iklan -
Berita

Pembelaan tidak akan panggil Najib jadi saksi kes rasuah Rosmah

Peguam Rosmah berkata keterangan Najib hanya bersifat menyokong dan ia telah dibuktikan oleh pihak pembelaan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Pihak pembelaan Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar di Sarawak memutuskan tidak memanggil suaminya, bekas perdana menteri Najib Razak, untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Peguam Jagjit Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan tidak akan memanggil Najib, yang dijadual memberikan keterangan hari ini.

“Selepas perbincangan pada Sabtu hingga lewat petang Ahad, pihak pembelaan memilih untuk tidak memanggil Najib sebagai saksi pembelaan ketiga.

“Kami juga sedang menganalisis soal balas (Rosmah) oleh pihak pendakwaan dan kami percaya keterangan daripada saksi ketiga (Najib) hanya bersifat menyokong dan sifat menyokong telah pun dibuktikan oleh pihak pembelaan.

“Atas alasan ini, kami perlu menyusun semula strategi dan kami membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib. Saya memohon maaf kepada Yang Arif. Saya tahu Yang Arif mementingkan masa mahkamah, saya menerima tanggungjawab atas perkara ini,” kata Jagjit.

Timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram berkata keputusan untuk memanggil atau tidak memanggil saksi terserah kepada pihak pembelaan.

“Terpulang kepada pembelaan untuk membuat keputusan,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata beliau menghargai permohonan maaf daripada pihak pembelaan.

Jagjit kemudian memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan hari ini dan minggu ini kerana saksi pembelaan kedua, yang juga bekas pegawai khas Najib, Siti Azizah Sheikh Abod, kini sedang menunaikan ibadah umrah di Mekah dan hanya boleh memberi keterangan pada 4 Februari.

Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan ke 4 Februari depan.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas kesemua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada kementerian pendidikan (KPM).