- Iklan -
Berita

Putrajaya cadang bina 4 mahkamah baru di Sarawak

Menurut Wan Junaidi, pembinaan mahkamah baru di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah bot river cruise membawa penumpang bersiar-siar di Sungai Sarawak ketika melalui masjid terapung Darul Hana di Waterfront, Kuching.
Sebuah bot river cruise membawa penumpang bersiar-siar di Sungai Sarawak ketika melalui masjid terapung Darul Hana di Waterfront, Kuching.

Kerajaan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pembinaan mahkamah baharu itu melibatkan kawasan Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.

Beliau berkata cadangan projek mahkamah baru itu kini sedang dipertimbangkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Jelasnya, pembinaan mahkamah baru di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.

“(Selain itu) saya mendapati masih terdapat banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain.

“(Terdapat juga mahkamah yang) hakim perlu masuk ikut laluan orang awam. Sepatutnya hakim perlu ada jalan belakang untuk naik ke tempat duduk mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

Selain itu, Wan Junaidi berkata kerajaan juga bercadang untuk membina satu unit kediaman rasmi buat Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata di bawah RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700.

Katanya, projek naik taraf ini melibatkan Kompleks Mahkamah Kuching, Kompleks Mahkamah Bintulu, Kompleks Mahkamah Miri, Mahkamah Kota Samarahan, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Sarikei.