- Iklan -
Berita

Peranan pemimpin, wakil rakyat ketika bencana melanda

Kehadiran mereka perlu bagi menyantuni mangsa banjir, namun eksploitasi bencana untuk publisiti tidak boleh diterima.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.

Kontroversi melibatkan wakil rakyat daripada kedua-dua belah blok politik menjadi buah mulut rakyat ketika beberapa kawasan di Lembah Klang teruk ditenggelami banjir bulan lepas sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan wakil rakyat ketika bencana melanda.

Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus dikecam di media sosial apabila beliau berada di luar negara ketika kawasannya teruk terjejas akibat banjir.

Beliau berada di Iran mewakili Malaysia menghadiri Sidang Pertubuhan Kerjasama Islam di Istanbul, Turki.

Turut menerima tempias kemarahan rakyat ialah Adun Kota Kemuning, V Ganabatirau dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad apabila dimarahi seorang pengundi di kawasannya yang mempersoalkan keberadaannya ketika banjir.

Rata-rata pandangan rakyat bersifat sinis terhadap mereka yang bergelar wakil rakyat.

Namun ada juga ahli politik dikecam kerana dilihat terlalu mencuba menampakkan diri melakukan tugas.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik gambarnya yang dipenuhi lumpur di sebuah kedai makan, manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun turut terkena tempias akibat “bencana” perhubungan awam ekoran tindakannya menggunakan “water jet” untuk membersihkan kawasan sebuah sekolah di Selangor.

Penganalisis mengatakan fenomena ini tidak terhad di Malaysia semata-mata.

Di Amerika Syarikat, bekas presiden George W Bush pernah dikritik apabila meninjau keadaan selepas taufan Katrina dalam sebuah pesawat pada tahun 2005.

Pemikir politik tanah air, Chandra Muzaffar berkata, kehadiran pemimpin di lokasi bencana tidak dapat dielakkan apabila berlaku krisis besar.

“Kita tidak boleh kata ‘ahli Parlimen jangan datang’ sekiranya ada bencana. Mereka pasti akan datang juga.

“Di mana-mana di dunia, wakil rakyat akan datang ke lokasi bencana,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Chandra, kehadiran wakil rakyat atau pemimpin tidak boleh menyukarkan kerja-kerja yang sedang dilakukan.

Lawatan ahli politik ke kawasan bencana pula boleh diaturkan dengan cara dan kaedah yang sesuai.

Chandra bagaimanapun tidak bersetuju dengan keghairahan sesetengah ahli politik yang menggunakan bencana sebagai “photo-op”.

“Perkara publisiti ini tidak wajar digalakkan. Sekiranya rakyat dan pengundi buat tak endah, ia tidak akan berlaku. Jangan eksploit keadaan bencana. Ini bukan soal diri sendiri, tapi soal kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru, peranan penganjur dan koordinator amat penting dalam menguruskan kehadiran pemimpin di lokasi bencana.

Bagi Zaid Ahmad dari jabatan pengajian kenegaraan dan ketamadunan Universiti Putra Malaysia, apa yang lebih signifikan yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat bukanlah bergambar di depan kamera, sebaliknya mengemudi usaha koordinasi, dan mengarah jentera.

“Pemimpin mempunyai pengaruh, mereka boleh menggerakkan massa dan sokongan dari pelbagai pihak dan syarikat swasta, di situlah kegunaan pengaru mereka, bukan pergi sembur air,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Macam sekarang, mangsa banjir perlukan air bersih, mana syarikat-syarikat penapis air yang membuat keuntungan selama ini? Itulah gunanya pengaruh pemimpin.”

Zaid menjelaskan sendiri pengalamannya membantu mangsa banjir di Selangor bersama sepasukan sukarelawan baru-baru ini.

Katanya, meskipun pasukan sukarelawan mempunyai tenaga manusia yang mencukupi, namun peralatan untuk mencuci rumah mangsa banjir tidak cukup.

Namun, sekiranya pemimpin tidak turun padang, ia bakal mengundang persepsi yang buruk kepada wakil rakyat yang tidak “berlakon”.

Untuk itu, Zaid berkata orang ramai juga perlu dididik untuk menukar tanggapan bahawa wakil rakyat perlu turun ke setiap rumah apabila berlaku bencana.

“Menyantuni itu perlu, pergi jumpa dan beri sokongan moral, namun fokus wakil rakyat harus digunakan untuk menggembleng tenaga semua pihak.

“Peranan mereka ialah menentukan semua agensi kerajaan menjalankan tugas masing-masing.”

Kehadiran pemimpin katanya, mungkin diharapkan oleh masyarakat yang tidak terpelajar, namun bagi golongan terpelajar dan kelas menengah, isu ini tidak seharusnya timbul.