- Iklan -
Berita

Debat berhubung dos penggalak hanya keruhkan keadaan, kata pakar

Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perkara penting yang perlu dilakukan adalah meneruskan pematuhan SOP bagi mengelak dijangkiti wabak.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari di Menara Sime Darby Plantation, Subang.
Petugas kesihatan Pusat Perubatan Ara Damansara memasukkan vaksin Sinovac ke dalam picagari di Menara Sime Darby Plantation, Subang.

Pakar kesihatan awam memberi amaran berhubung debat antara kerajaan dan mereka yang bimbang tentang kesan sampingan suntikan penggalak Covid-19, mengatakan ia mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan berikutan persoalan yang timbul mengenai keberkesanan vaksin ketika Putrajaya berusaha untuk memberikan dos ketiga itu kepada semua individu yang layak.

Persoalan tersebut mulai hangat diperkatakan selepas kementerian kesihatan mengumumkan bulan lalu bahawa suntikan penggalak diperlukan bagi mengekalkan status vaksinasi mereka.

Situasi ini bertambah buruk apabila Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan KKM sedang mengkaji keperluan pengambilan dos keempat iaitu dos penggalak kedua baru-baru ini yang mana ia mengukuhkan lagi dakwaan golongan antivaksin yang mempertikaikan keberkesanan vaksin tersebut.

MalaysiaNow dimaklumkan beberapa individu yang sudah menerima dos lengkap bagi suntikan primer, kini semakin was-was untuk penerimaan dos penggalak kerana bimbang ia akan mendatangkan kemudaratan.

Oleh itu, ramai dalam kalangan pengguna media sosial menyarankan supaya KKM atau Khairy tampil bersemuka dengan golongan tersebut dan mengadakan sesi debat supaya dapat tamatkan sengketa ini secara langsung.

Bagaimanapun, Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat UKM Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah itu bukanlah satu keputusan yang bijak kerana sesi debat antara pihak KKM dan golongan antivaksin hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, ini kerana golongan itu mungkin tidak akan menerima penjelasan KKM dan akan pertikai segala bukti yang dikemukakan oleh pakar.

“Isunya kita bukan nak biarkan golongan antivaksin terus berleluasa. Kita pun tiada akta (untuk memaksa individu mengambil vaksin) kerana ini adalah persoalan hak manusia,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun, individu yang menghasut supaya tidak mengambil vaksin patut dikenakan tindakan kerana ini boleh jejaskan proses vaksinasi.”

Pada 1 Januari, Khairy memaklumkan KKM menerusi kumpulan teknikalnya sedang mengkaji keperluan bagi pengambilan suntikan dos keempat susulan ancaman Omicron yang semakin berleluasa di peringkat global.

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dikemukakan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebaik kajian itu selesai.

Sementara itu, ditanya sama ada KKM akan mengadakan sesi perbincangan dengan golongan antivaksin, Khairy memberitahu pihaknya akan kemukakan nasihat dari semasa ke semasa berdasarkan data yang diperoleh supaya masyarakat lebih memahami keperluan pengambilan vaksin.

Bercakap menerusi sidang media secara hibrid di Parlimen pada Khamis, Khairy menegaskan vaksin terbukti berkesan untuk menentang Covid-19, namun tidak dapat dipastikan tempoh masa keberkesanannya.

“Kita ada bukti menerusi gambar rajah dan carta menunjukkan kadar kematian, kadar kemasukkan ke hospital dan kes jangkitan harian telah menurun dari paras tertinggi direkodkan pada Ogos 2021 sehingga sekarang disebabkan vaksinasi yang rancak dan liputan luas,” katanya menjawab soalan MalaysiaNow.

“Ini adalah bukti berdasarkan sains. Apabila keberkesanan vaksin itu menurun, kita akan tambah balik menerusi suntikan penggalak untuk pastikan tahap imunisasi berada di tahap optimum.”

Dalam pada itu, Sharifa menyarankan supaya kerajaan menumpukan kepada usaha meluaskan liputan dos penggalak atau suntikan ketiga berbanding memperkenalkan dos keempat.

“Bukannya dos keempat itu tidak perlu, cuma sekarang bukan masanya. Suntikan ketiga patut jadi tumpuan utama, tambah-tambah lagi disebabkan isu banjir pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, dos ketiga seharusnya ditumpu kepada mangsa-mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana keadaan mereka berada di situ secara berkelompok dan terdedah risiko penularan kes jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai suntikan dos keempat, beliau berkata, ada kemungkinan vaksin Covid-19 akan lebih kurang sama seperti vaksin Influenza yang mana terdapat pelbagai jenis vaksin disediakan untuk menentang penularan virus tersebut.

“Kita pun tidak pasti sama ada terdapat varian baru akan muncul pada masa hadapan.

“Malah, vaksin influenza pun tidak semua orang ambil. Yang penting kita terus amalkan SOP seperti memakai pelitup muka dan elakkan berada di kawasan sesak,” tambahnya.