- Iklan -
Berita

WHO beri amaran jangan anggap ‘ringan’ penularan Omicron

Penularan aktif varian itu boleh menyebabkan kemudahan kesihatan dan hospital sesak dengan pesakit Covid-19.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Varian Omicron kini menjadi kebimbangan dunia selepas penularan pantasnya telah menyebabkan beberapa negara memulakan sekatan pergerakan bagi aktiviti ekonomi dan sosial. Gambar: Bernama
Varian Omicron kini menjadi kebimbangan dunia selepas penularan pantasnya telah menyebabkan beberapa negara memulakan sekatan pergerakan bagi aktiviti ekonomi dan sosial. Gambar: Bernama
Varian Omicron Covid-19 yang turut menjadi punca korban jiwa di seluruh dunia tidak boleh dianggap sebagai varian “ringan”, tegas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata rekod kes penularan jangkitan varian baru telah mengatasi varian Delta yang dominan sebelum ini di banyak negara.
Menurutnya, penularan aktif varian itu boleh menyebabkan kemudahan kesihatan dan hospital sesak dengan pesakit Covid-19.
“Walaupun Omicron dilihat kurang bahaya berbanding Delta, terutama bagi mereka yang telah divaksin, ia tidak bermakna varian itu harus dikategorikan sebagai varian ringan,” kata Tedros pada sidang media semalam.
“Sama seperti varian sebelumnya, Omicron juga telah menyebabkan ramai yang terpaksa masuk ke hospital dan mengorbankan nyawa.
“Malah, tsunami kes akibatnya adalah sangat besar dan pantas, sehinggakan menyebabkan sistem kesihatan sesak di seluruh dunia.”
WHO menerima laporan 9.5 juta kes baru Covid-19pada minggu lalu.
Rekod itu menunjukkan peningkatan sebanyak 71% berbanding minggu sebelumnya.
Menurut Tedros, rekod tersebut menunjukkan varian itu telah ditanggapi secara mudah kerana ia tidak mencerminkan kes-kes tertunggak sekitar cuti Krismas-Tahun Baru, ujian kendiri positif yang tidak didaftarkan, dan sistem pengawasan yang tidak dapat merekodkan kes baru kerana menanggung beban pesakit yang ramai.
Sasaran vaksinasi tergendala
Perutusan pertama Tedros pada 2022 itu juga turut  menyelar sikap negara-negara kaya yang memalsukan perolehan dos vaksin yang disediakan tahun lalu, mengatakan tindakan itu telah mewujudkan tempat penularan yang sempurna bagi sesuatu varian baru muncul.
Sehubungan itu, beliau menggesa dunia untuk turut berkongsi dos vaksin secara lebih adil pada 2022, bagi menamatkan “kematian dan kemusnahan” akibat Covid-19.
Terdahulu, Tedros menggesa setiap negara mencapai 10% penduduk divaksinasi menjelang akhir September 2021 dan 40% lengkap divaksinasi menjelang akhir Disember.
92 dari 194 negara anggota WHO tersasar daripada sasaran yang ditetapkan pada penghujung 2021 ketika 36 daripadanya belum mencapai 10% populasi divaksin.
Punca utamanya adalah disebabkan akses vaksin yang kurang di negara-negara tersebut.
Menetapkan sasatan baru, Tedros mahu 70% populasi di setiap negara divaksinasi menjelang pertengahan 2022.
Dengan kadar vaksinasi ketika ini, 109 negara dijangka akan tersasar daripada sasaran tersebut.
“Ketidaksetaraan vaksin adalah pembunuh manusia dan pekerjaan dan ia menjejaskan pemulihan ekonomi global,” kata Tedros.
“Beberapa dos penggalak yang diberikan di sebilangan kecil negara tidak akan dapat menamatkan wabak ketika berbilion lagi masih tidak menerima perlindungan vaksin.”