- Iklan -
Berita

Situasi banjir di Sabah, Pahang dan Melaka bertambah baik

Bagaimanapun, mangsa banjir di Segamat meningkat sedikit hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Taman Gembira di Segamat mengharungi banjir yang mencecah ke paras betis. Mangsa berpindah ke PPS buat sementara waktu sambil menunggu genangan air beransur surut. Gambar: Bernama
Penduduk Taman Gembira di Segamat mengharungi banjir yang mencecah ke paras betis. Mangsa berpindah ke PPS buat sementara waktu sambil menunggu genangan air beransur surut. Gambar: Bernama

Keadaan banjir di Sabah, Pahang dan Melaka bertambah baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini, daerah Segamat di Johor mencatatkan peningkatan mangsa manakala Negeri Sembilan tidak berubah.

Di Sabah, 55 orang daripada 15 keluarga masih berada di tiga PPS di Telupid dan Paitan pagi ini berbanding 202 orang daripada 50 keluarga malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan dua PPS di Telupid iaitu Masjid Kampung Gana Jati menempatkan 15 orang dari enam keluarga dan Dewan Kampung Maau menempatkan 20 orang daripada lima keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol di Paitan menempatkan 20 orang dari empat keluarga.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan setakat 8 pagi, 782 orang masih berada di 22 PPS berbanding 933 orang di 27 PPS malam tadi melibatkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

Beberapa jalan masih ditutup antaranya Jalan Triang 1 dan Felda Triang 1 di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan) dan Jalan Serengkam (Maran).

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak Rabu.

Di Melaka, menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi, jumlah mangsa menurun sedikit dengan 406 orang berada di satu PPS di Alor Gajah dan tiga PPS di Jasin berbanding 408 orang malam tadi.

Di Negeri Sembilan, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana JKM, mangsa banjir setakat 8 pagi kekal 69 orang dari 17 keluarga di tiga PPS.

Sementara itu, di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,496 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,065 orang malam tadi.

“Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,479 orang, Muar (1,058), Tangkak (905) dan Batu Pahat (54). Sebanyak 62 PPS masih beroperasi di empat daerah itu melibatkan keseluruhan 1,242 keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Vidyananthan berkata Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat serta Sungai Muar di Panchor dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar masih berada pada paras bahaya dengan trend penurunan.

Beliau berkata Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar juga berada paras bahaya namun dengan trend tidak berubah.