- Iklan -
Berita

Malaysia, Singapura nilai semula risiko teruskan VTL udara, darat

Kerajaan akan menilai semula risiko semasa sebelum memutuskan untuk meneruskan dengan kuota 50% daripada kapasiti asal skim VTL.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Laluan perjalanan vaksinasi lengkap (VTL) turut ditangguhkan dengan negara-negara berisiko penularan varian baru Omicron.
Laluan perjalanan vaksinasi lengkap (VTL) turut ditangguhkan dengan negara-negara berisiko penularan varian baru Omicron.

Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menilai semula risiko semasa sebelum memutuskan untuk meneruskan dengan kuota 50% daripada kapasiti asal skim laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) udara dan darat atau sebaliknya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata mengikut perbincangan asal, kedua-dua negara sebelum ini bersetuju untuk meneruskan VTL harian dengan pengurangan kuota kepada 50% untuk penjualan tiket diteruskan pada 21 Januari ini.

Pada 23 Disember lepas, kedua-dua negara memutuskan untuk menggantungkan penjualan tiket VTL udara dan darat susulan ancaman Omicron, sebelum ia dijangka diteruskan semula.

“Kedua-dua pihak akan berbincang mengenai jumlah yang boleh… sama ada udara ataupun darat.

“Dalam beberapa minggu ini, kita akan buat penilaian kalau kedua-dua pihak merasakan untuk (meneruskan dengan) 50% ataupun sebaliknya,” kata beliau kepada pemberita pada majlis meraikan pencapaian kendalian 11 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd bagi 2021, hari ini.

Wee berkata setakat ini seramai 37,783 pelawat dari Singapura ke Malaysia direkodkan menggunakan VTL udara.

Beliau, yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini mengenai VTL yang kini ditangguhkan penjualan tiketnya.

Sebelum ini, kuota harian yang telah ditetapkan bagi VTL darat adalah 1,440 individu untuk sehala.

Wee sebelum ini dilaporkan berkata inisiatif bagi VTL udara dan darat antara Malaysia-Singapura terus ditangguh atau kembali beroperasi akan ditentukan dalam tempoh 48 jam sebelum tamat tarikh penangguhannya iaitu pada 21 Januari ini.

Beliau dilaporkan berkata sekiranya VTL kembali diteruskan pada tarikh tersebut, jumlah jualan tiket berkemungkinan akan dikurangkan hingga 50% daripada jumlah sedia ada.