Saturday, May 21, 2022

Ciumlah tangan Najib, pencuri Melayu-Islam, kata Dr Mahathir

Mahathir menyifatkan rasa tidak malu melakukan kesalahan adalah satu nilai hodoh dan ia ditunjukkan secara jelas oleh Najib dan penyokongnya.

Other News

Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangannya terhadap Najib Razak, mengatakan ahli Parlimen Pekan yang disabitkan kesalahan jenayah rasuah dan pecah amanah dan juga penyokongnya sudah hilang rasa malu dan cuba mengalih perhatian dengan membuat tuduhan terhadap orang lain.

Mahathir menyifatkan rasa tidak malu melakukan kesalahan adalah satu nilai hodoh dan ia ditunjukkan secara jelas oleh Najib dan penyokongnya melalui slogan “Malu apa bossku,” dan “(Najib) boss kita”.

“Sesuatu yang sudah hilang di Malaysia ialah perasaan malu. Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu Islam,” kata Mahathir dalam tulisan di blognya semalam.

Katanya Najib akan mengelak isu salah guna kuasa yang ditujukan kepadanya dengan menuding jari kepada orang lain.

“Apabila ditegur kerana menyalahguna kuasa dan mencuri duit kerajaan.

“Beliau akan cuba alih perhatian dari kesalahannya dengan menuduh bahawa saya sebagai perdana menteri juga berbuat perkara yang sama,” katanya.

Mahathir berkata Najib tidak dapat membuktikan beliau bersalah walaupun menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kehilangan RM30 bilion semasa pentadbirannya.

“Bank Negara tidak dikehendaki lapor kepada saya mengenai akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan 30 billion dan meminta saya rahsiakan kehilangan ini.

“Akaun Bank Negara diaudit dan audit tentu dapat kesan yang bank sembunyi kehilangan ini jika benar dan akan lapor. Jika tidak pihak audit tentu bersalah jika tidak melapor kehilangan ini,” katanya.

Menurut Mahathir sebaliknya Najib sudah terbukti memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya.

“(Sementara) tidak ada satu sen pun dari wang yang dikatakan disembunyikan masuk ke akaun (peribadi) saya,” kata Mahathir.

Mahathir turut memberikan respons terhadap ucapan Najib pada Disember yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) hanya menggunakan projek Forest City sebagai propaganda untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2018.

Menjawab dakwaan Najib itu, Mahathir berkata kerajaan PH tidak dapat membatalkan projek Forest City itu kerana ia akan menyebabkan berbilion ringgit perlu dibayar.

“Yang mampu dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah menasihat Country Garden supaya rumah kos rendah yang boleh dibeli oleh orang Melayu dan Cina Malaysia perlu disediakan. Country Garden akur,” katanya.

“Zuraida Kamaruddin, sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan mengadakan majlis perasmian Dasar Komuniti Negara pada 17 Februari 2019.

“Saya dijemput untuk sampaikan sijil kepada antara lain Forest City kerana mengubah perancangan mengikut kehendak kerajaan Malaysia. Ia bukan pengiktirafan projek Forest City yang dilulus oleh kerajaan Najib Razak.”

Najib disabitkan bersalah pada Julai 2020 dan pada asalnya dijatuhi hukuman 72 tahun penjara; yang terdiri dari hukuman 10 tahun penjara bagi setiap enam pertuduhan berkaitan pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram dan 12 tahun lagi bagi kesalahan salah guna kuasa.

Beliau turut dikenakan denda RM210 juta atau lima kali ganda jumlah wang yang terlibat.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyampaikan keputusan tersebut menggunakan budi bicaranya memerintahkan supaya hukuman tersebut dijalankan secara serentak.

Mahkamah Rayuan pada Disember mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles