- Iklan -
Berita

Buku teks rosak akibat banjir tidak perlu dibayar semula, kata menteri

KPM mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak akibat banjir yang melanda negara.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk sedang membersihkan rumah yang dimasuki lumpur selepas banjir surut di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang.  Banjir yang melanda negara telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian harta benda dalam skala besar.
Penduduk sedang membersihkan rumah yang dimasuki lumpur selepas banjir surut di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. Banjir yang melanda negara telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian harta benda dalam skala besar.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin hari ini berkata buku teks yang rosak akibat banjir yang berlaku di seluruh negara akan diganti dan murid tidak perlu membayar kerosakan tersebut.

Dalam sebuah kenyataan, Radzi berkata kementerian pendidikan mempunyai stok mencukupi bagi menggantikan buku teks tersebut.

“Berdasarkan rekod KPM, sebanyak 263,662 naskah buku teks yang rosak melibatkan 14,000 murid di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod ini, KPM mempunyai stok yang mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi memboleh murid meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu depan,” katanya.

Jelas beliau, usaha menggantikan buku teks akan dilakukan dengan segera sebagai persediaan sesi persekolahan yang akan bermula minggu depan.

Beberapa negeri mengalami bencana banjir buruk pada bulan lepas berikutan taburan hujan yang tinggi pada musim monsun.

Ribuan mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meskipun jumlah mangsa berkurangan.

Terdahulu, KPM memaklumkan pembukaan sekolah ditangguhkan seminggu berikutan bencana banjir.

Sesi persekolahan di negeri kumpulan A bermula pada 9 Januari manakala negeri dalam kumpulan B bermula pada 10 Januari.

Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu termasuk dalam kumpulan A manakala kumpulan B membabitkan negeri lain dan Wilayah Persekutuan.