Saturday, May 21, 2022

Rumah di kawasan berisiko banjir sukar dijual

Pembeli dijangka akan mempertimbangkan lokasi sesebuah rumah berikutan banjir besar yang melanda bandar-bandar utama di Lembah Klang.

Other News

Pemilik yang memiliki kediaman di kawasan berisiko banjir mungkin berdepan kesukaran untuk menjual rumah mereka susulan insiden banjir besar yang berlaku baru-baru ini sehingga menjejaskan bandar-bandar utama di Lembah Klang.

Perunding Hartanah Natasha Gideon berkata, banjir besar yang menjejaskan beberapa kawasan di Lembah Klang juga mungkin akan menyukarkan lagi jualan unit rumah yang masih belum terjual di kawasan tersebut.

Katanya, susulan insiden itu, pembeli pastinya akan mengambil kira aspek lokasi kawasan perumahan sebelum membuat keputusan untuk membeli kediaman.

“Kita perlu lihat kekerapan berlakunya banjir di kawasan itu. Dari segi nilai, sudah tentu ia akan terjejas sekiranya kawasan tersebut terkenal sebagai kawasan banjir,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ia juga bergantung kepada ramalan-ramalan pakar. Jika dijangkakan kawasan itu akan berlaku banjir pada masa hadapan, secara tidak langsung ia akan pengaruhi nilai kawasan perumahan tersebut.”

Mengulas lanjut, Natasha berkata kejadian banjir ini juga akan mendatangkan kesan terhadap nilai hartanah sama ada perumahan atas tanah ataupun bangunan tinggi seperti pangsapuri dan kondominium.

Katanya, walaupun rumah satu tingkat dilihat sebagai pilihan paling kurang popular dalam situasi banjir, namun kediaman tinggi juga akan terkesan apabila bencana tersebut boleh sebabkan kerosakan lif dan membanjiri kawasan tempat letak kereta.

“Kedua-dua kategori rumah ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri, justeru, sukar untuk menyatakan secara umum pilihan mana yang lebih baik,” katanya.

Pembeli lebih berhati-hati

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd Lim Hock San, berkata susulan insiden banjir besar baru-baru ini, ramai pembeli dijangka akan lebih berhati-hati sebelum membeli rumah.

Bercakap pada sidang media di Petaling Jaya pada Rabu, Lim berkata syarikatnya juga akan menggunakan kesempatan bagi melihat cara untuk tambah baik sistem penyaliran bagi projek perumahan yang akan dibangunkan pada masa hadapan.

“Bagaimanapun, projek-projek kami tidak terjejas akibat banjir.

“Disebabkan insiden ini, sudah tentu kami akan melihat cara untuk tambah baik sistem penyaliran,” katanya dan menambah syarikat itu mempunyai 14 projek pembinaan yang bakal dilancarkan di Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak.

Dalam pada itu, Lim menjangkakan harga rumah akan meningkat pada 2022 didorong oleh kenaikan harga bahan binaan sekitar 5%.

“Tetapi ia mungkin tidak akan naik begitu tinggi kerana ingin pastikan orang ramai mampu membeli rumah.

“Oleh itu, ramai dijangka akan membeli rumah dari projek perumahan sedia ada,” ujarnya.

Menurut Natasha, kejadian bencana juga tidak semestinya bermakna nilai rumah akan merosot kerana ia membuka ruang untuk pemaju menambah baik projek perumahan pada masa akan datang.

Kebiasaannya, katanya, apabila berlaku bencana besar, kerajaan akan perkenalkan dasar yang lebih ketat untuk proses pembangunan dan pembinaan yang mana pemaju perlu mematuhi standard baru.

“Contohnya, selepas insiden Highland Tower, pembinaan di kawasan cerun mempunyai standard baru.”

“Meskipun selepas tragedi itu, nilai hartanah di sekitar Highland Tower seperti Setiawangsa Residensi tetap mengukuh dan rumah dijual pada harga tinggi,” katanya merujuk kepada insiden pangsapuri runtuh di Ulu Klang, Selangor pada awal 1990-an dahulu.

Oleh itu, Natasha berkata, tempoh untuk mendapatkan semula keyakinan pembeli supaya kembali melabur di sesuatu kawasan, berbeza mengikut tempat dan sangat bergantung kepada inisiatif kerajaan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles