Sunday, May 22, 2022

Polis siasat kehilangan pendawaian sistem amaran banjir di Gemas

Pendawaian kotak dan beberapa barangan disyaki telah dicuri dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

Other News

Polis sedang menyiasat berhubung kehilangan pendawaian sistem siren amaran banjir dalam kotak siren yang berada di kolam takungan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Taman Sungai Gemas.

Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab berkata pihaknya segera ke lokasi berkenaan selepas menerima laporan daripada seorang kakitangan JPS pada 1.44 tengah hari semalam.

“Pemeriksaan lelaki berkenaan kira-kira sejam sebelum itu mendapati terdapat kesan umpil di kotak siren dan di pintu pagar masuk ke kolam tadahan tersebut selain mengesyaki pendawaian kotak dan beberapa barangan dicuri dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000.

“Lokasi siren itu juga berada berhampiran Sungai Gemas dan kawasan perumahan Taman Sungai Gemas. Tempat kejadian mempunyai pagar di sekelilingnya dan didapati terdapat kesan pagar dirosakkan ” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berkata stesen amaran banjir yang dibina sejak 15 tahun lalu itu tidak dilengkapi apa-apa penggera atau kamera litar tertutup namun berada dalam keadaan baik dengan kali terakhir diselenggara pada 8 Disember tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles