- Iklan -
Berita

Lebih dari 7.1 juta dos penggalak diberikan ketika 18 kematian dicatat

Hampir 98% populasi dewasa negara telah menerima vaksin lengkap.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk Orang Asli suku Temuan di Sungai Gabai, Hulu Langat.
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak, memberi suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada penduduk Orang Asli suku Temuan di Sungai Gabai, Hulu Langat.

Sebanyak 22,872,297 individu atau 97.7% populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow, sebanyak 23,160,259 individu atau 98.9% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,761,997 individu atau 87.8% telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,852,677 individu atau 90.7% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 245,326 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 2,747 dos pertama, 3,859 dos lengkap dan 238,720 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 58,554,303 dos termasuk 7,107,613 dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 18 kes kematian direkodkan semalam.

Pahang, Perak dan Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi dengan masing-masing merekodkan tiga kes, diikuti Kedah, Melaka, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan dua kes, manakala masing-masing satu kes di Kelantan, Sabah dan Terengganu.