- Iklan -
Berita

KKM siasat 17 kes Omicron tiada rekod vaksinasi

Siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14% atau 17 kes tiada vaksinasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pakaian pelindung lengkap ketika melakukan penerbangan antarabangsa. Gambar: Bernama
Orang ramai memakai pakaian pelindung lengkap ketika melakukan penerbangan antarabangsa. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan (KKM) mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

Beliau berkata 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.

“Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Khairy, siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14% atau 17 kes tiada vaksinasi.

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya.

Khairy juga berkata jumlah kumulatif varian Omicron dalam kes positif Covid-19 yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

Beliau berkata susulan itu, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Jan ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan semula.

Katanya KKM bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan akan mengemas kini SOP umrah antaranya pengambilan dos penggalak sebagai antara syarat umrah serta pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi.

Pada masa sama, Khairy berkata kementerian pelancongan, seni dan budaya akan berbincang dengan ejen pelancongan untuk penjadualan semula umrah manakala Kementerian Pengangkutan menguruskan jadual penerbangan.

“KKM ingin mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah agar terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan komuniti.

KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin Covid-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan optimum serta mengelakkan jangkitan virus itu yang teruk serta komplikasinya.