- Iklan -
Berita

Kes positif Omicron meningkat ke 245, kata menteri

Kebanyakan kes Omicron direkodkan dalam kalangan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama
Penumpang penerbangan antarabangsa memakai pelitup muka dan pakaian lengkap pelindung bagi mengelak jangkitan varian Covid-19 Omicron di KLIA. Gambar: Bernama

Malaysia kini merekodkan sebanyak 245 kes positif jangkitan Covid-19 varian Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Daripada jumlah itu, Khairy berkata, 233 kes merupakan kes import dari luar negara manakala 12 kes lagi adalah penularan tempatan.

Katanya, sebanyak 157 kes atau 64.08% merupakan daripada jemaah Umrah.

“Perkembangan semasa varian Omicron di Malaysia, sebanyak 44 kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif jangkitan tempatan di Sarawak telah disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya pada sidang media secara hibrid hari ini.

“Daripada 44 kes jangkitan import, 29 kes adalah dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (lima) Kazakhstan (lima), United Kingdom (tiga) dan satu kes masing-masing dari Amerika Syarikat dan Tanzania.”

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak 72 lagi kes positif varian Omicron disahkan oleh IMR sebentar tadi dan 59 daripada kes yang dilaporkan adalah dari Arab Saudi.

Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah untuk tempoh sebulan berkuatkuasa 8 Januari ini.

Katanya, dalam tempoh itu, kementerian kesihatan (KKM) akan melaksanakan penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara terutamanya melibatkan prosedur operasi standard (SOP).

“KKM bersama kementerian dan agensi berkaitan akan turut mengemaskini SOP umrah termasuk meletakkan syarat pengambilan dos penggalak, pengurusan kes dan kontak rapat serta pemantauan status kesihatan jemaah umrah di Arab Saudi,” katanya.

Tambah beliau, jemaah umrah yang pulang ke Malaysia juga akan diarahkan supaya menjalankan kuarantin.

“KKM juga sudah bincang dengan menteri pengangkutan dan menteri pelancongan, seni dan budaya untuk cari kaedah menjadualkan semula umrah mereka dan penerbangan yang tertangguh disebabkan keputusan kerajaan,” tambah Khairy.

Dalam pada itu, Khairy turut menafikan kerajaan mengambil keputusan secara pilih kasih apabila melakukan pemantauan khusus terhadap pengembara dari Arab Saudi.

Katanya, langkah itu diambil memandangkan kebanyakkan kes positif varian Omicron adalah berpunca dari negara tersebut.

“Daripada 1,842 kes positif yang direkodkan dalam kalangan pengembara di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada minggu terakhir 2021, 1,558 kes adalah pengembara dari Arab Saudi.

“Kedua tertinggi ialah pengembara dari Turki iaitu sebanyak 84 kes manakala UAE dan UK merekodkan 50 kes dan 47 kes,” katanya.