Sunday, May 22, 2022

Sambutan baik lantikan TKM Cina tidak bermaksud sokongan bertukar kepada SUPP, kata penganalisis

James Chin berkata masyarakat Cina Sarawak akan mengambil masa untuk terima SUPP walaupun kecewa terhadap DAP.

Other News

Walaupun sokongan masyarakat Cina terhadap DAP dilihat beralih arah semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini, masih sukar untuk menentukan sama ada undi yang diterima Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kekal diberikan kepada mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.

Pemerhati politik Sarawak, James Chin berkata masyarakat Cina di Sarawak gembira dengan pelantikan presiden SUPP Dr Sim Kui Hian sebagai salah seorang dari tiga timbalan ketua menteri dalam Kabinet baru negeri itu.

Menurut Chin, walaupun pelantikan itu mungkin dilihat hanya sekadar simbolik, orang Cina berharap Sim akan dapat membantu memulihkan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Beliau juga turut bercakap mengenai harapan masyarakat Cina yang mahu Sim membawa penambahbaikan dalam bidang lain.

“Orang Cina di Sibu, khususnya, mengharapkan beliau dapat menangani isu banjir yang lama berlarutan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Bagaimanapun, Chin berkata penelitian terhadap corak pengundian dalam PRN menunjukkan masyarakat Cina tidak kembali menyokong SUPP walaupun jelas menolak DAP.

“Kehadiran pengundi kurang dari 50%,” katanya.

Chin turut mengakui masyarakat Cina “sangat kecewa” dengan DAP, namun penganalisis dari Universiti Tasmania itu berkata untuk mengalihkan sokongan kepada SUPP yang dikritik lemah dalam politik sejak PRN 2006 itu akan mengambil masa.

“Masyarakat Cina di Sarawak tahu tanpa suara pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), SUPP akan leka dan angkuh,” katanya.

“Kerana itulah mereka menyokong DAP, sebagai satu bentuk semak dan imbang. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga masih kecewa dengan DAP. Jadi mereka lebih suka untuk tidak keluar mengundi. Tiada pengundi yang keluar bermakna tiada undi untuk DAP.”

Sim adalah salah seorang daripada segelintir pemimpin berketurunan Cina yang berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri dalam kerajaan Sarawak.

Antara pemimpin masyarakat Cina yang pernah menyandang jawatan itu termasuk James Wong Kim Min yang berkhidmat dari 1963 hingga 1966, Stephen Yong (1970–1974), Sim Kheng Hong (1974-1991), Wong Soon Kai (1991-1996) dan Dr George Chan (1996-2011).

Pelantikan Sim sebagai timbalan ketua menteri adalah susulan kemenangan SUPP di 13 kerusi semasa PRN Sarawak pada 18 Disember lalu, jumlah kemenangan itu hampir dua kali ganda jumlah kerusi yang dimenangi pada PRN 2016.

SUPP turut mengekalkan tujuh kerusi – Batu Kawah, Batu Kitang, Simanggang, Repok, Meradong, Piasau dan Senadin.

Parti itu turut berjaya merampas semula enam kerusi lain termasuk Opar, Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.

Manakala DAP hanya memenangi dua dari 22 kerusi yang ditandinginya.

Susulan kekalahan teruk tersebut, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengakui parti itu kehilangan sokongan kerana gagal memenuhi harapan para pengundi.

Kebanyakan kawasan majoriti Cina mencatatkan kadar keluar mengundi yang rendah sekitar 30% dan 40%.

Di Padungan dan Pending, dua kerusi yang dimenangi DAP, peratusan keluar mengundi masing-masing sebanyak 44% dan 43%.

Seorang tokoh masyarakat Cina, Richard Wee berkata masyarakat Cina gembira dengan pelantikan Sim sebagai timbalan ketua menteri.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata perubahan akan berlaku dalam SUPP ketika pergelutan politik di peringkat persekutuan.

Beliau juga berkata kegagalan DAP Sarawak menunaikan janji menyebabkan peralihan sokongan sehingga menyebabkan parti itu menerima tamparan hebat pada PRN baru-baru ini.

Chin berkata masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan masyarakat Cina akan berterusan pada PRU akan datang.

Menurutnya, DAP akan memerlukan masa bagi mendapatkan semula keyakinan pengundinya.

Berdasarkan trend pengundian ketika ini, Chin berkata, DAP mungkin hanya mampu memenangi satu atau dua kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Cina jika PRU diadakan tahun ini.

“Orang Cina masih kecewa dengan DAP,” katanya.

“Ini juga bergantung bila PRU15 diadakan. Jika ia diadakan tahun ini, pengundi Cina tidak akan kembali menyokong DAP.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles