- Iklan -
Berita

Lebih 6.8 juta suntikan penggalak diberi ketika 31 kes kematian dicatat

Lebih 58.3 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.

Sebanyak 22,868,434 individu atau 97.7% populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dos vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman CovidNow, sebanyak 23,158,375 individu atau 98.9% daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja pula, sebanyak 87.7% atau 2,760,090 individu berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,851,195 individu atau 90.6% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Sementara itu, sejumlah 241,595 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,844 dos pertama, 3,952 dos lengkap dan 234,799 dos penggalak.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 58,303,449 dos termasuk 6,865,812 dos penggalak.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, sebanyak 31 kes kematian direkodkan semalam.

Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi sebanyak sembilan kes, diikuti Kedah, Johor, Kelantan, Perak dan Sabah dengan masing-masing merekodkan tiga kes, Pahang dan Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Terengganu serta Negeri Sembilan.