Sunday, May 22, 2022

Kebimbangan Omicron tidak mampu kekang kelesuan SOP?

SOP Covid-19 dilihat semakin diabaikan walaupun kes varian Omicron yang mudah menular mula dikesan di negara ini.

Other News

Pematuhan prosedur operasi standar (SOP) dilihat semakin diabaikan di banyak kawasan awam walaupun terdapat pengesanan varian Omicron yang sangat mudah menular, dengan pakar memberi amaran mengenai kelesuan SOP selepas lebih dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.

Pemerhatian MalaysiaNow di beberapa kompleks beli-belah, stesen minyak, kedai serbaneka, restoran, kawasan hentian dan Rehat dan Rawat (R&R) serta di pawagam, mendapati semakin ramai tidak mengendahkan lagi SOP terutama penjarakan fizikal.

Walaupun orang ramai masih memakai pelitup muka dan melakukan imbasan aplikasi Mysejahtera, namun ia dilihat hanya sekadar “syarat” untuk memasuki premis tersebut.

Keadaan ini amat berbeza berbanding ketika penularan Covid-19 mula kecoh di seluruh negara, apabila orang ramai amat berhati-hati dan sentiasa menjaga jarak antara satu sama lain.

Pada ketika itu, kawalan masuk ke setiap premis amat ketat apabila pengawal keselamatan sentiasa melakukan pemeriksaan Mysejahtera dan suhu pengunjung, namun kini, orang ramai seolah-olah bebas masuk tanpa perlu diperiksa di beberapa tempat tertentu.

Malah, keadaan ini juga didapati berlaku di beberapa klinik yang memberi suntikan vaksin apabila orang ramai dilihat berkumpul dalam bilik yang sempit untuk menunggu giliran mereka menerima suntikan dos penggalak.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat UKM Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, keadaan ini digelar sebagai kelesuan SOP (SOP fatigue) yang mana orang ramai sudah “jemu” untuk mematuhinya.

Beliau berkata, antara faktor yang mendorong kepada situasi ini ialah apabila orang ramai tidak lagi nampak keberkesanan pematuhan SOP kerana penularan Covid-19 masih berterusan hingga ke hari ini.

“Situasi ini kerana orang sudah jemu selepas melalui fasa perintah kawalan pergerakan (PKP), malah selepas pelbagai langkah keselamatan diambil, ada juga yang meninggal dunia,” katanya kepada MalaysiaNow.”

“Malah, ramai yang sedang marah terutama dengan isu tindakan ‘dua darjat’. Ramai yang mempunyai persepsi bahawa hanya rakyat dikenakan tindakan manakala VIP terlepas.”

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga turut tidak menolak kemungkinan gelombang varian Omicron akan bermula di Malaysia, seperti yang berlaku di negara-negara lain dan beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperlahankan penularan varian membimbangkan (VOC) yang berasal dari Afrika Selatan itu.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat (AS), lebih dari sejuta jangkitan dicatat pada Isnin dengan 1,080,211 kes baru dikesan. Menurut kerajaan, Omicron menyumbang kira-kira 59% kes di negara itu pada minggu yang berakhir 25 Disember lalu walaupun kadar kematian dan kemasukan ke hospital jauh lebih rendah berbanding gelombang jangkitan sebelumnya.

Di United Kingdom pula, kes harian turut mencecah jumlah jangkitan tertinggi sepanjang pandemik dengan 189,213 kes direkodkan pada hari terakhir tahun 2021.

Setakat ini, jumlah keseluruhan varian Omicron di negara ini adalah sebanyak 122 kes.

Daripada jumlah tersebut, 117 daripadanya membabitkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

Mengulas lanjut, Sharifa berkata, faktor situasi semasa juga memainkan peranan mengapa ramai dalam kalangan masyarakat tidak menghiraukan lagi pematuhan SOP.

“Bagi mereka yang terjejas akibat banjir, pematuhan SOP tidak lagi dilihat penting kerana lebih utamakan isu makanan dan keadaan keluarga sahaja,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Lee Lam Thye menyarankan supaya kerajaan menangani isu ini menerusi pendekatan psikologi dan bukannya secara tegas.

Beliau berkata, cadangan KKM untuk memperkenalkan hukuman lebih tegas menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021, mungkin hanya akan menimbulkan lagi kemarahan rakyat.

“Apa kerajaan boleh buat? Kerajaan hanya boleh melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

“Bagaimanapun, kerajaan perlu terus ambil mendidik masyarakat menerusi pendekatan psikologi kerana isu kelesuan SOP ini adalah isu melibatkan psikologi,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah kerajaan boleh gunakan tindakan undang-undang sekiranya tiada pilihan lain.

Tambah Lee, jika keadaan ini dibiarkan begitu sahaja, ada kemungkinan Malaysia akan menyaksikan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 pada masa hadapan.

“Kelesuan SOP ini memang benar berlaku kerana penularan Covid-19 sudah berlarutan hampir dua tahun.

“Jika keadaan ini berterusan, boleh dijangkakan pematuhan SOP akan jadi lebih teruk,” tambahnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles