- Iklan -
Berita

Delhi kenakan perintah berkurung bendung Covid-19

Orang ramai perlu kekal berada di rumah pada Sabtu dan Ahad melainkan kes kecemasan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan mengambil sampel swab bagi ujian saringan di Bangalore, India. Gambar: AFP
Petugas kesihatan mengambil sampel swab bagi ujian saringan di Bangalore, India. Gambar: AFP

Delhi akan melaksanakan perintah berkurung pada hujung minggu bagi membendung penularan Covid-19, kata kerajaan negeri itu pada Selasa.

Tindakan itu merupakan sebahagian daripada langkah Delhi untuk menangani penularan wabak itu, kata timbalan ketua menteri Manish Sisodia.

Orang ramai perlu kekal berada di rumah pada Sabtu dan Ahad melainkan kes kecemasan, katanya pada sidang media.

Ibu negeri India itu telah melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam.

Kakitangan kerajaan diminta bekerja dari rumah kecuali melibatkan sektor perkhidmatan penting, dan sektor swasta akan beroperasi dengan kapasiti 50% pada hari bekerja, kata Sisodia.

Delhi kini merekodkan sekitar 11,000 kes positif dan 350 pesakit kini menerima rawatan di hospital, katanya.

Ketua menteri Delhi, Arvind Kejriwal pada Selasa didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin diri di rumah.

Pihak berkuasa telah meningkatkan kapasiti hospital bagi menangani kemungkinan lonjakan kes Covid-19 dalam tempoh beberapa minggu akan datang.