- Iklan -
Berita

Rombakan Kabinet hanya spekulasi, kata PM

Beliau berkata tumpuan ketika ini diberikan kepada bencana banjir dan wabak Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan bantuan derma kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Alor Gajah, Melaka. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberikan bantuan derma kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Alor Gajah, Melaka. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini menafikan dakwaan rombakan Kabinet seperti yang dilaporkan MalaysiaNow mungkin terjadi seawal bulan ini dengan tumpuan diberikan beberapa menteri dan timbalan menteri dari Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Menyifatkan laporan sedemikian adalah spekulasi, beliau berkata tumpuan ketika ini diberikan kepada bencana banjir dan krisis Covid-19, menurut Bernama.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan rombakan mungkin menjadi ujian sejauh mana beliau berjaya dalam memimpin gabungan kerajaan ketika perbalahan antara Bersatu dan kumpulan Umno diketuai Najib Razak terus memuncak.

Satu sumber dalaman Umno berkata rombakan barisan anggota Kabinet tersebut tidak akan dilaksanakan secara besar-besaran sementara sumber rapat dengan pentadbiran Ismail berkata ia adalah satu tindakan bagi “mengimbangi” kesatuan Kabinetnya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos tahun lalu selepas menerima sokongan 114 dari 220 ahli Parlimen.

Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada beliau terdiri dari gabungan PN, Umno dan Gabungan Parti Sarawak selain empat ahli Parlimen bebas.

Ismail merupakan antara pemimpin Umno dan anggota Kabinet yang enggan menyahut seruan pemimpin parti seperti Najib dan Ahmad Zahid Hamidi dalam kempen menumbangkan Muhyiddin Yassin dengan menarik sokongan terhadapnya.

Kabinet Ismail mengangkat sumpah menjelang Merdeka tahun lalu di mana ramai menteri yang dilantik ketika pentadbiran Muhyiddin terus dikekalkan dengan beberapa portfolio diganti penyandangnya.