- Iklan -
Berita

Kesatuan pekerja bank tolak desakan ahli politik supaya benar pengeluaran KWSP

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank berkata desakan Umno untuk benarkan pengeluaran KWSP adalah 'tidak berfaedah' jika Umno ikhlas ingin berkhidmat kepada rakyat.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja memberi amaran dana perlindungan sosial itu telah berkurang susulan pengeluaran pencarum sepanjang krisis Covid-19. Gambar: Bernama

Kesatuan pekerja bank terbesar negara hari ini mengalu-alukan ketegasan kerajaan untuk tidak membenarkan pengeluaran lanjut caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya tidak tunduk dengan “tekanan politik popular jangka pendek” dari “ahli politik tertentu”.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) J Solomon berkata skim dan insentif yang telah diumumkan akan membantu mereka mangsa yang terjejas banjir baru-baru ini, dan sekiranya ia tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya.

“Tetapi untuk taksub menggunakan dana KWSP semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya ahli-ahli politik yang membuat desakan merupakan mereka dari kerajaan yang memerintah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau turut menggesa ahli politik untuk sedar bahawa tabung persaraan telah merosot dengan ketara akibat pengeluaran yang dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19.

Beliau turut membidas Umno, mengatakan ramai daripada pencarum kini mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka.

“Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti yang Umno wakili.

“Kerajaan Umno selama lebih 60 tahun telah gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara-negara jiran yang lain, yang sama ada berada di belakang kita atau seiring dengan kita pada satu masa dulu,” katanya lagi.

Solomon juga berkata kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan sehingga ia membarah selain isu undang-undang buruh yang tidak adil sehingga menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh yang adil daripada keuntungan.

Beliau juga turut menambah penyelewengan dana kedaulatan Malaysia oleh “pemimpin tertentu,” telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa, yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang.

“NUBE mengiktiraf beberapa dasar baik yang Umno perkenalkan semasa mereka menjadi rakan gabungan pemerintah utama, tetapi mendesak agar KWSP membenarkan pengeluaran secara berterusan, walaupun untuk mangsa banjir, adalah tidak berfaedah jika parti itu ingin berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas selepas persembahan buruk dalam pilihan raya umum lalu.

“Bagi mendapatkan semula kredibiliti, parti itu sepatutnya menggesa kerajaan menggunakan sumbernya untuk memberi bantuan tulen kepada mangsa banjir dan merapatkan jurang ketidaksamaan yang luas yang wujud sepanjang 60 tahun pentadbiran mereka.”

Ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru, Ismail mengumumkan bantuan tambahan bagi mangsa banjir di seluruh negara yang memakan belanja sehingga memakan belanja RM1.4 bilion.

Namun gesaan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP terus dilakukan diketuai bekas perdana menteri Najib Razak yang menyerang Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerna bertegas untuk tidak membenarkannya.

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” kata Najib, merujuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya.”

Bagaimanapun Solomon menyambut baik pendirian Ismail, Zafrul dan KWSP yang baru-baru ini memberi amaran mengenai simpanan pencarum yang menyusut selepas pengeluaran dibenarkan sepanjang krisis Covid-19.

“NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak.

“Pandangan yang diterima umum bahawa kerajaan, di peringkat persekutuan dan negeri, bertanggungjawab untuk memastikan ketersediaan keperluan asas yang mencukupi dan pengagihannya tepat pada masanya, untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir. Ia amat kritikal sekarang, di tujuh buah negeri yang dilanda banjir baru-baru ini,” katanya.