Tuesday, May 17, 2022

Kempen pengeluaran wang KWSP Najib sebabkan pencarum bekerja lebih lama, kata ahli ekonomi

Mereka berkata bantuan kepada mangsa banjir harus datang daripada kerajaan bukan dengan membenarkan pengeluaran KWSP seperti yang dipromosi bekas perdana menteri itu.

Other News

Ahli ekonomi menyelar kempen bekas perdana menteri, Najib Razak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mangsa banjir, mengatakan antara lain pencarum mungkin terpaksa bekerja lebih lama dari tempoh persaraan.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia berkata, berdasarkan angka KWSP, seramai 6.1 juta atau 50% ahli berumur kurang 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 apabila bersara.

“Jika ahli mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 melalui i-Lestari (RM6,000), i-Sinar (RM10,000) dan i-Citra (RM5,000), mereka terpaksa bekerja empat hingga lima tahun lebih lama dari umur persaraan untuk menampung kembali wang yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Oleh itu, isu pencarum KWSP tidak mempunyai wang yang cukup untuk persaraan adalah amat serius dan ia akan menjadi lebih teruk setiap tahun apabila ramai ahli KWSP akan mula bersara.”

Beliau merujuk kepada program-program pengeluaran wang yang diperkenalkan sejak dua tahun kebelakangan ini berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai tenaga kerja dibuang kerja atau kehilangan pendapatan.

Menurut rekod, sebanyak RM101 billion dikeluarkan oleh ahlinya melalui i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar.

Dalam satu kenyataan, KWSP memberi amaran rata-rata pencarum tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menghadapi usia tua.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz baru-baru ini pula menyatakan pengeluaran KWSP bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, pengeluaran itu bakal membebankan generasi masa depan.

Penganalisis ekonomi, Muhammed Abdul Khalid berkata, situasi tersebut sudahpun dijangka memandangkan sebelum ini sudah ada pakar-pakar ekonomi yang memberikan amaran untuk tidak mengeluarkan wang daripada KWSP untuk menangani kesan Covid-19.

“Jangan benarkan pengeluaran duit simpanan hari tua milik rakyat untuk membantu mereka yang terkesan dengan krisis.

“Ini bukan penyelesaian. Ini menambahkan masalah di masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaNow dan menyelar gesaan Najib itu sebagai “jadong”, memetik ungkapan pemikir Syed Hussein Alatas yang bermaksud jahat, bodoh dan sombong.

Pencarum sukar dihari tua

Muhammed memberi amaran usaha sukar dihadapi KWSP dan pencarum untuk menaikkan semula jumlah simpanan mereka kelak.

“Polisi tidak bertanggungjawab ini mengakibatkan implikasi negatif jangka masa panjang.”

Katanya, data KWSP menunjukkan satu daripada dua orang Melayu mempunyai simpanan yang amat sedikit, dan akan berada di bawah paras kemiskinan apabila bersara kelak.

“Yang miskin kelak adalah orang Melayu rakyat marhaen, bukannya pemimpin atasan yang berfikiran sempit.”

Muhammed berkata, bantuan yang diperlukan haruslah datang dari kerajaan, dan menyelar dakwaan tidak cukup wang untuk memberi bantuan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, wang simpanan persaraan dan simpanan untuk kecemasan perlu dibezakan.

“Keadaan bertambah buruk apabila ramai tiada simpanan untuk kegunaan kecemasan.

“Sepatutnya, dalam keadaan kecemasan seperti sekarang (banjir), kerajaan yang patut tangani seperti beri duit bantuan atau soft loan (pinjaman tanpa faedah) supaya wang persaraan tidak terjejas dan rakyat tidak akan berdepan krisis kewangan apabila bersara,” katanya kepada MalaysiaNow.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam amanat tahun baru turut mengumumkan bantuan tambahan kepada mangsa-mangsa banjir.

Mereka boleh menerima sehingga RM61,000 jumlah bantuan mengikut keadaan.

Mengulas mengenai bantuan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Afzanizam Abdul Rashid berkata pinjaman tanpa faedah yang diperkenalkan boleh meringankan beban mangsa banjir selain bantuan tunai yang lain.

“Selain kerajaan memfokuskan bantuan kewangan sahaja, pertingkatkan lagi usaha lain seperti kumpulkan mekanik-mekanik sukarela ini dan pusatkan usaha mereka (centralize their effort).

“Selain itu, kerajaan boleh bekerjasama dengan NGO untuk memberikan pertolongan secara terperinci, utamakan bantuan asas yang lebih bermakna,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan perbelanjaan memandangkan mereka mempunyai ruang fiskal membantu rakyat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles