- Iklan -
Berita

Kabinet bincang penangguhan umrah esok, kata PM

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membentangkan laporan terperinci mengenai isu umrah dalam mesyuarat Kabinet esok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai memakai pakaian pelindung lengkap ketika melakukan penerbangan antarabangsa. Gambar: Bernama
Orang ramai memakai pakaian pelindung lengkap ketika melakukan penerbangan antarabangsa. Gambar: Bernama

Kabinet akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan isu penangguhan umrah seperti yang diumumkan kementerian kesihatan (KKM) baru-baru ini, susulan ancaman varian baru Covid-19, Omicron.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pada mesyuarat itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membentangkan laporan terperinci mengenainya.

“Esok saya akan dapatkan gambaran sebenar mengenai isu umrah ini. Cuma saya hendak maklumkan keputusan KKM (tangguh umrah) lebih kepada hendak menjaga nyawa kita,”  katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung penangguhan umrah yang bakal dikuatkuasakan pada 8 Januari ini.

Sementara itu, perdana menteri berkata perkara yang akan turut dibincangkan esok adalah berkenaan pasca banjir dan persediaan agensi-agensi berkaitan mengenai persiapan dalam menghadapi gelombang kedua banjir.