- Iklan -
Berita

Prosiding bela diri kes palsu dokumen Peter Anthony ditangguh

Hakim membenarkan penangguhan itu selepas Adun Melalap itu melantik peguam baru bagi mewakilinya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama
Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama

Prosiding hari pertama bela diri Peter Anthony atas dakwaan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), dijadual bermula hari ini ditangguhkan berikutan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu melantik peguam baru untuk mewakilinya.

Hakim Azura Alwi membenarkan penangguhan itu selepas timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Peter melantik peguam baru dan memohon prosiding hari ini dilapangkan.

“Saya memperkenalkan peguam baharu yang mewakili Peter iaitu S. Devanandan. Pihak pendakwaan bersetuju supaya kehadiran tertuduh (hari ini) dikecualikan atas alasan pihak pembelaan memohon tarikh (bela diri) dilapangkan kerana tertuduh telah melantik peguam baharu untuk mewakilinya,” kata Wan Shaharuddin.

Devanandan menggantikan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin yang sebelum ini mengendalikan kes itu bersama seorang lagi peguam D. Senthinathan.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata pernyataan saksi pembelaan perlu diserahkan kepada pendakwaan dalam masa seminggu sebelum saksi-saksi tersebut memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan belum menerima pernyataan saksi pembelaan yang sepatutnya diserahkan hari ini,” katanya.

Devanandan pula memberitahu mahkamah pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi seperti dipohon oleh pendakwaan dan bercadang untuk memanggil empat saksi pembelaan termasuk Peter.

“Kami memberi aku janji untuk menyerahkan pernyataan saksi pembelaan dalam tempoh seminggu bermula hari ini kerana kami masih belum berjumpa anak guam bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baru pada 9 dan 10 serta 16 hingga 18 Februari ini untuk tertuduh membela diri.

Pada 14 Disember 2021, Peter, 50, yang juga bekas naib presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) diperintah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan elektrik di universiti itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 dan dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.