- Iklan -
Berita

Keluarga Azeez kemuka representasi kepada peguam negara kes lucut hak RM16 juta

Jabatan Peguam Negara akan membincangkan representasi berkenaan dalam masa tiga minggu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Ahli keluarga bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kerajaan untuk melucut hak harta membabitkan wang tunai dan aset bernilai RM16 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Perkara itu dimaklumkan peguam Prem Ramachandran yang mewakili keluarga Azeez ketika prosiding kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.

Prem berkata representasi itu dikemukakan kepada AGC pada 16 November lepas dan difahamkan AGC akan membincangkan representasi berkenaan dalam masa tiga minggu.

“Oleh itu, kami memohon pendengaran kes saman hari ini ditangguhkan bagi menunggu keputusan representasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim berkata pihaknya tidak membantah terhadap permohonan penangguhan pendengaran kes selain memaklumkan kepada mahkamah representasi tersebut diserahkan kepada Ketua Pendakwaan AGC untuk arahan selanjutnya.

Permohonan penangguhan pendengaran kes hari ini turut tidak dibantah peguam Poh Choo Hoe yang mewakili Maybank Islamic Berhad, selaku pihak ketiga dalam kes saman itu.

Hakim Muhammad Jamil kemudian menetapkan 8 Februari ini untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah perkembangan lanjut berhubung representasi.

Melalui saman difailkan pada September 2019 itu, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun milik isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor, empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ahli keluarga Azeez untuk menangguhkan prosiding saman melucut hak sementara perbicaraan kes rasuah terhadap ahli Parlimen Baling itu yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen selesai.

Azeez, 55, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Perbicaraan tersebut, bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan kesemua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan.