- Iklan -
Berita

Pemulihan infrastruktur pasca banjir dijangka RM1 bilion

Infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Beberapa rumah penduduk dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Sungai Manjang di Sandakan, Sabah pada 2 Januari, 2022. Gambar: Bernama
Beberapa rumah penduduk dinaiki air ketika tinjauan di Kampung Sungai Manjang di Sandakan, Sabah pada 2 Januari, 2022. Gambar: Bernama

Kementerian kerja raya (KKR) hari ini memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dijangka menelan belanja RM1 bilion.

Ketua Setiausaha KKR Wan Uzir Wan Sulaiman berkata infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan cerun di bawah seliaan KKR perlu segera dibaiki agar akses serta kesalinghubungan rakyat dapat diteruskan.

Beliau berkata selaras dengan saranan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerja-kerja pembaikan infrastruktur tidak boleh ditangguh, dan perlu dilaksanakan segera.

“Fokus utama adalah untuk memastikan laluan yang terjejas dapat dilalui dan kemudiannya memastikan cerun-cerun serta infrastruktur berkenaan selamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu Wan Uzir juga memaklumkan bahawa KKR sedang mengambil langkah-langkah untuk menghadapi kemungkinan berlakunya “gelombang kedua” banjir.

“Yang kami khuatir adalah berlakunya gelombang kedua. Banjir baru-baru ini mengakibatkan kerosakan dan gelombang kedua boleh mengakibatkan lebih banyak kerosakan berlaku.

“Antara contoh langkah berjaga-jaga yang telah diambil, KKR sedang berkerjasama dengan Jabatan Hutan untuk memastikan hutan dan cerun tidak rosak.

“Kami mengenal pasti cerun yang ‘cedera’ dan memasang perlindungan untuk mengelakkan berlakunya kejadian cerun runtuh” katanya.

Wan Uzir bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Mohamad Zulkefly Sulaiman hari ini hadir melakukan tinjauan kerja pemasangan jambatan sementara (Bailey Bridge) di Kampung Tanjung Pauh, Hulu Langat.

Jambatan itu akan menghubungkan kembali sejumlah 12 keluarga yang “terperangkap” apabila jambatan kekal merentasi Sungai Lui ke kampung itu runtuh pada 18 Dis lepas.