- Iklan -
Berita

OCBC lesap S$8.5 juta akibat scam pancing data

Bank itu berkata ia bekerjasama dengan polis bagi mendapatkan semula dana yang hilang namun peluangnya rendah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang lalu lalang sambil memakai pelitup muka di bangunan Bank OCBC sewaktu rehat tengah hari di Raffles Place, Singapura pada 14 September. Gambar: AFP
Orang lalu lalang sambil memakai pelitup muka di bangunan Bank OCBC sewaktu rehat tengah hari di Raffles Place, Singapura pada 14 September. Gambar: AFP

Hampir 470 orang di Singapura menjadi mangsa scam pancing data yang melibatkan Bank OCBC sejak awal Disember dengan kerugian dianggarkan sebanyak S$8.5 juta, sejumlah S$2.7 juta daripada jumlah keseluruhan itu lesap pada hujung minggu lalu, lapor Straits Times.

Laporan itu memetik kenyataan akhbar polis republik itu yang mengatakan sebahagian besar kerugian itu berlaku sejak dua minggu lalu.

Sementara itu, OCBC berkata ia turut merekodkan peningkatan mendadak aktiviti “phishing” atau pancing data melalui penipuan pesanan pendek (SMS) yang menyamar sebagai wakil bank tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 23 Disember, OCBC berkata orang ramai telah menerima SMS yang kononnya daripada bank, mendakwa kononnya terdapat masalah dengan akaun bank atau kad kredit mereka.

Bank itu berkata SMS tersebut mengandungi pautan ke laman sesawang palsu sebagai samaran sekali gus meminta maklumat perbankan dan kata laluan pelanggan.

“Dalam minggu lepas sahaja, OCBC Bank telah menerima secara purata lebih 20 kali aduan pelanggan yang menghubungi bank berkaitan penipuan tersebut,” katanya.

OCBC turut menambah bahawa ia sedang bekerjasama dengan polis Singapura bagi membantu pelanggan mendapatkan semula wang mereka, bagaimanapun mengingatkan kemungkinan untuk mendapatkan wang yang telah keluar dari akaun pelanggan adalah sangat rendah.

“Bank OCBC akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan semula wang pelanggan, namun pertahanan pertama dan paling kuat dalam memerangi aktiviti penipuan terletak pada pelanggan dengan mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Untuk bulan Disember sahaja, OCBC berkata ia mengesan dan berjaya memusnahkan 45 laman sesawang pancingan data – kira-kira lapan kali ganda lebih banyak daripada purata aduan setiap bulan.