- Iklan -
Berita

Melihat semula pendedahan kami yang mencetuskan perdebatan nasional pada 2021

Laporan utama dalam senarai adalah berita rumah bernilai RM100 juta yang diberikan kepada Najib Razak dan berita lain yang tidak kurang mengejutkan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

MalaysiaNow mendedahkan antara berita paling hangat dalam negara tahun ini di mana bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi terus mendominasi dalam kebanyakannya.

Pendedahan paling utama sudah semestinya mengenai rancangan untuk memberikan “hadiah” kepada Najib dengan hartanah bernilai RM100 juta di kejiranan paling ekslusif di Kuala Lumpur pada 12 November lalu.

Isu tersebut juga turut menjadi tular, di mana pengguna media sosial menyuarakan rasa terkejut apabila seorang lelaki yang disabitkan dengan kes penyelewengan jutaan dolar diberikan sebuah rumah di plot tanah seluas dua padang bola.

Bagaimanapun isu tersebut menjadi besar selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan dalam Dewan Rakyat seminggu pendedahan itu dibuat.

Siasatan dibantu maklumat dari sumber menyaksikan beberapa pendedahan lain berkait pendedahan mengenai hadiah bernilai RM100 juta itu, termasuk pendedahan mengenai beberapa menteri yang membantah keputusan pemberian kepada Najib tersebut.

Seterusnya, MalaysiaNow turut mendedahkan Najib diberikan beberapa pilihan hartanah berdasarkan undang-undang yang memberikan keistimewaan kepada bekas perdana menteri Malaysia, namun beliau memilih pilihan paling mahal di mana kerajaan perlu membina rumah baru untuknya menggunakan dana awam.

Zahid, yang merupakan presiden Umno tidak terkecuali terlibat dalam beberapa pendedahan berhubung politik.

Kali ini, MalaysiaNow mendapat maklumat dari sumber dalaman parti yang mendedahkan butiran pertemuan pada Oktober 2020 antara Zahid dengan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

Zahid dilaporkan bertemu Muhyiddin bersama fail-fail perbicaraannya di mahkamah dengan harapan mendapat sokongannya bagi menggugurkan pertuduhan mahkamah terhadapnya.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan untuk masuk campur mengenai kes mahkamah yang dihadapi Zahid, mengatakan ia adalah urusan mahkamah.

Selang beberapa hari selepas pertemuan itu, Zahid dan Najib menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan mereka kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri, surat itu juga didedahkan MalaysiaNow pada Oktober 2020.

Sokongan itu menunjukkan bagaimana sebahagian pemimpin Umno yang digelar kluster mahkamah merancang untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin, kerajaan yang disokong parti Melayu itu pada Februari 2020 susulan kelompongan kuasa selepas tumbangnya gabungan Pakatan Harapan (PH).

Rancangan politik sedemikian kemudiannya berlarutan dan sekali lagi, pada 7 April, MalaysiaNow mendedahkan rakaman perbualan telefon antara Zahid dan Anwar di mana kedua-duanya didengar merancang hasil keputusan Perhimpunan Agung Umno beberapa hari sebelumnya.

Dalam perhimpunan parti itu, Zahid dan Najib menggesa Umno untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu, yang dilihat sebagai menetapkan nada bagi kudeta menjatuhkan Muhyiddin empat bulan selepas itu.

Klik di sini untuk mendengar rakaman perbualan.

Zahid juga mengambil peluang momentum yang sudah meningkat dalam partinya bagi mendapatkan sokongan perwakilan Umno untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dengan meneruskan kempen dalam kalangan pemimpin utama Umno bagi memutuskan hubungan sepenuhnya dengan kerajaan PN.

Tetapi pendedahan MalaysiaNow berhubung apa yang diperkatakan oleh pemimpin Umno dalam mesyuarat Majlis Tertinggi selama empat jam yang dipengerusikan Zahid menunjukkan presiden Umno itu berdepan kesukaran untuk meyakinkan anggota kanan partinya dalam usaha menjatuhkan kerajaan Muhyiddin.

Ramai yang mempersoalkan cadangan Zahid dan Najib yang mahu anggota Kabinet dari parti itu meletakkan jawatan bagi menjatuhkan kerajaan pada musim pandemik.

Bantahan sedemikian turut mencerminkan pendirian kebanyakan menteri dan timbalan menteri Umno, MCA dan MIC yang enggan mendengar gesaan Zahid dan Najib supaya mereka meletakkan jawatan.

Tahun 2021 juga menyaksikan MalaysiaNow mendedahkan bagaimana ahli politik berpangkat rendah berkelakuan ketika berkuasa.

Dalam pendedahan ini, kami mendedahkan bagaimana pemimpin Amanah Khalid Samad ketika memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan secara peribadi memberikan sokongan terhadap permohonan satu syarikat pemaju hartanah swasta untuk menterbalikkan keputusan jabatan tanah yang membatalkan pemindahan sebuah plot tanah di Kuala Lumpur.

Berikutan respons beliau yang mempersoalkan laporan kami, MalaysiaNow kemudiannya menerbitkan beberapa imej surat di mana Khalid sendiri meletakkan nota dan tandatangannya.

Ini menunjukkan bagaimana pegawai kanan tidak mematuhi peraturan yang digariskan oleh mereka sendiri, dasar PH yang melarang sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai menggunakan pengaruh jawatan kementerian termasuk membuat surat sokongan atau memberikan arahan yang boleh mempengaruhi sebarang keputusan.

Isu tanah juga turut menjadi tajuk utama pendedahan MalaysiaNow, kami melaporkan bagaimana Selangor memberikan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat gergasi hartanah Berjaya Land ekoran kegagalan sebuah syarikat milik kerajaan negeri untuk membiayai satu projek mega.

Kami juga turut mendedahkan dapatan audit syarikat milik kerajaan negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd yang tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah walaupun mengalami kerugian; sebaliknya, pengarah-pengarah syarikat itu diberikan bonus empat bulan gaji, kenaikan 6% gaji, dan menaikkan gaji pengarah urusannya dari RM29,000 kepada RM37,000.

Bukan hanya ahli politik sahaja yang menjadi tajuk utama sebahagian laporan penyiasatan kami.

Mereka yang mempunyai hubungan dengan ahli politik juga turut dinamakan dalam beberapa laporan.

Ia termasuk pendedahan mengenai Vinod Sekhar, seorang teman rapat Anwar, di mana kami melaporkan ahli perniagaan itu memperoleh kontrak berbilion ringgit dari Hungary, membuatkan ramai yang memberikan perhatian mengenai ketelusan kewangan menyuarakan ketidaksenangan.

Temu bual kami bersama beberapa ahli politik Hungary menunjukkan kontrak tersebut dianggap sebagai sebahagian skandal utama di Hungary.

Lima bulan selepas kami melaporkan kontrak bernilai RM2.5 bilion untuk membekalkan peralatan perubatan kepada kerajaan Hungary, beberapa agensi kerajaan menyerbu pejabat yang dikaitkan dengan Vinod di Bangsar sebagai sebahagian daripada siasatan pengubahan wang haram dan lari cukai dipercayai berkait dengan kontrak mega tersebut.