- Iklan -
Berita

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat

Seramai 1,186 orang dari 350 keluarga berada di PPS Kelantan berbanding 856 orang pada sebelah petangnya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.
Beberapa sukarelawan dari Ipoh membantu penduduk Taman Sri Nanding membersihkan lumpur akibat kesan banjir yang melanda Hulu Langat.

Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan malam tadi manakala Pahang menunjukkan penurunan sementara di Selangor dan Negeri Sembilan kekal dengan jumlah sama.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 1,186 orang daripada 350 keluarga berada di PPS setakat 9 malam tadi berbanding 856 orang daripada 245 keluarga petang semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 14 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu sembilan di Jeli dan lima di Kuala Krai.

Sementara itu, menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah berada pada paras bahaya apabila merekodkan bacaan 23.74 meter (m).

Portal rasmi pengurusan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan jalan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 137 orang daripada 42 keluarga malam ini berbanding 69 orang daripada 22 keluarga petang tadi.

Satu lagi PPS di Dungun iaitu Dewan Serbaguna Kampung Shukur dibuka menjadikan jumlah keseluruhan dua PPS beroperasi ketika ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu Rosman Abdullah berkata hanya Dungun satu-satunya daerah yang dilanda banjir hari ini namun pemantauan turut tertumpu di Daerah Besut, Hulu Terengganu dan Kemaman.

“Jumlah mangsa dijangka terus bertambah malam ini kerana kebanyakan (paras air) sungai utama masih menunjukkan trend peningkatan,” katanya.

Portal rasmi JPS memaklumkan stesen bacaan tiga sungai di tiga daerah di negeri ini telah melepasi paras bahaya malam ini iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dengan bacaan setinggi 35.03 m, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (38.63m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (19.89 m).

Bagaimanapun, di Pahang, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,390 mangsa yang masih berada di 33 PPS di Bentong, Temerloh, Kuantan, Maran dan Pekan.

Portal rasmi JPS turut melaporkan bacaan paras air Sungai Kuantan di Bukit Kenau berada di paras amaran manakala Sungai Dong (Raub), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong), Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Lembing (Kuantan) berada di paras waspada.

JPS turut meramalkan banjir akan berlaku secara berperingkat di beberapa daerah lain di negeri ini iaitu Kuantan, Rompin, Pekan, Bera, Maran, Jerantut, Temerloh, Lipis, Raub dan Bentong susulan amaran tahap bahaya dengan hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi petang tadi.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir kekal dengan 466 mangsa melibatkan 132 keluarga di empat PPS di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (168 orang) di Kuala Selangor.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan tiga klinik desa (KD) iaitu KD Kampung Nenas, Klang manakala KD Dusun Tua serta KD Batu 18 di Hulu Langat terpaksa ditutup sementara susulan banjir.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir kekal kepada 29 individu daripada sembilan keluarga yang berada di PPS Balai Raya Kampung Puom, Jelebu setakat 9 malam tadi.