- Iklan -
Berita

2021 akan berakhir tetapi kemelut politik berterusan, kata penganalisis

Mereka berkata ketika landskap politik semakin berpecah, kekacauan tidak akan hilang dalam masa terdekat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat ke-14 pada September lalu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen bagi menghadiri sidang Dewan Rakyat ke-14 pada September lalu.

Kegawatan yang menyelubungi sebahagian besar perkembangan politik Malaysia tahun ini mungkin akan berlanjutan ke tahun hadapan, kata penganalisis ekoran perebutan kuasa dalam Umno selain tokoh-tokoh politik terkemuka bergelut menjalani perbicaraan kes mahkamah.

Di peringkat kerajaan, boleh dikatakan perubahan terbesar yang berlaku ialah peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada Ogos berikutan tekanan daripada sekumpulan ahli Parlimen Umno diketuai presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Muhyiddin kemudiannya diganti oleh Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan slogan “Keluarga Malaysia” di mana beliau menikmati tempoh 100 hari pertama pentadbiran yang agak lancar dengan kelulusan Belanjawan 2022 di bawah kerajaannya di Parlimen serta Rancangan Malaysia ke-12 walaupun mendapat majoriti tipis sebanyak empat kerusi.

Ismail juga turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang, meliputi enam aspek utama termasuk hak Sabah dan Sarawak, pemerkasaan rancangan kerajaan berhubung Covoid-19, dan reformasi Parimen.

Bagaimanapun, banjir besar yang melanda lapan negeri baru-baru ini, terutama di Selangor dan Pahang mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kerajaan Ismail dengan pengkritik menuduh beliau lembab bertindak selain kekurangan persediaan agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi itu.

Mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang Kuala Langat di Banting membersihkan barangan rumah yang terkena lumpur. Gambar: Bernama

Namun begitu, penganalisis politik Oh Ei Sun berkata kedudukan Ismail sebagai perdana menteri tidak begitu bergantung kepada persepsi rakyat terhadap keupayaan pentadbirannya berbanding perebutan dan pergelutan kuasa dalam Umno.

“Walaupun puak arus perdana diketuai Zahid dan Najib melihat beliau hanyalah pemegang jawatan itu secara sementara sebelum mereka kembali ke tampuk kuasa, beliau juga sedang bergelut untuk membentuk sekutunya sendiri walaupun secara longgar bagi menentang puak dalam Umno yang memperkecilkan beliau,” kata Oh kepada MalaysiaNow.

Dengan situasi tersebut, katanya, dapat difahami mengapa Najib akan terus cuba mengekalkan kedudukannya dalam Umno selepas permohonannya menggugurkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pertuduhan berkaitan SRC International gagal di Mahkamah Rayuan awal bulan ini.

Pemilihan Umno yang mungkin berlangsung pada November depan seperti dikatakan Timbalan Presiden Mohamad Hasan, mungkin bakal menyaksikan Ismail cuba menggunakan sebaik mungkin jawatannya sebagai perdana menteri untuk mengambil alih jawatan presiden parti dari Zahid, kata Oh.

“Keadaan ini harus dilihat sama ada permainan politik ini akan meletus dengan masing-masing berbalah secara terbuka pada tahun hadapan,” tambah Oh yang merupakan seorang felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

Sementara itu, katanya, kluster mahkamah akan menggunakan semua helah yang ada untuk membebaskan diri daripada pertuduhan yang dihadapi.

Najib, yang merupakan antara yang berdepan pertuduhan jenayah, tidak mempunyai pilihan selain terpaksa membawa kesnya ke Mahkamah Persekutuan bagi merayu sabitan dan hukuman kes SRC International.

Penyokong Najib Razak dilihat berkumpul di Mahkamah Rayuan menunggu keputusan rayuan bekas perdana menteri yang berdepan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Jika sabitannya dikekalkan, dan seluruh kluster mahkamah yang lain juga didapati bersalah, mereka tidak layak untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia menjangkakan tidak akan ada lagi percubaan daripada pembangkang untuk mendapatkan ahli Parlimen kerajaan dengan cara melompat parti, mengatakan dua usaha seumpama itu gagal sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Ismail masih boleh berdepan nasib yang sama seperti Muhyiddin.

“Sekiranya ada pun, berlaku di kalangan Umno sendiri, kerana Ismail seolah-olah tidak sehaluan dengan kepimpinan Umno iaitu Zahid dan Najib kerana perbezaan pandangan bila PRU15 akan diadakan,” katanya.

Sementara itu di pihak pembangkang pula, dua PRN yang diadakan selepas darurat pandemik dibatalkan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk di Melaka dan Sarawak.

Di Melaka, Barisan Nasional (BN) membentuk pentadbiran negeri selepas memenangi 21 dari 28 kerusi DUN manakala di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sehaluan dengan kerajaan menikmati kemenangan besar dengan memperolehi 76 dari 82 kerusi.

Pengundi menunggu giliran untuk membuang undi pada PRN Sarawak.

Oh berkata PH sebagai blok pembangkang terbesar “seakan mati pucuk” dengan pemeteraian MoU dengan kerajaan.

“Ini dapat dilihat dengan rasa jijik pengundi atau sekurang-kurangnya sebagai satu penghinaan di Melaka dan Sarawak, ia bagaimanapun menimbulkan harapan baru dalam kalangan ramai ahli politik dan parti yang bercita-cita tinggi untuk cuba menggantikan PH atau sekurang-kurangnya mencuri akar umbi penyokong PH,” katanya.

Walaupun PRU15 mesti diadakan sebelum Julai 2023, Mazlan menjangka ia tidak akan berlaku tahun depan – satu senario yang sememangnya diingini kem Zahid.

“Persamaan pandangan dengan PM dan Yang di-Pertuan Agong mesti wujud dalam isu PRU,” katanya.

“Saya fikir kalau dinasihatkan pun, kuasa Agong boleh untuk tidak bersetuju dengan permintaan pembubaran.”

Beliau menambah pemulihan daripada kesan banjir besar baru-baru ini memerlukan beberapa bulan untuk dilaksanakan sementara situasi Covid-19 mungkin menyebabkan Ismail menangguhkan tarikh pilihan raya.

Apapun, Oh menjangka keadaan politik akan menjadi lebih menarik pada tahun depan, “disebabkan landskap politik yang berpecah, ia memberi peluang untuk semua”, katanya.

Mazlan turut bersetuju dengan pandangan itu dan berkata Ismail dilihat tidak mendapat sokongan penuh daripada menteri Kabinetnya.

Beliau menambah terlalu banyak masalah yang memerlukan penyelesaian yang berani antara kumpulan dan individu dalam parti politik.

“Nampak menteri-menteri tertentu yang tidak memberi sokongan.

“Adanya perbezaan pandangan dalam Umno sendiri dan pada masa yang sama ketidakpuasan PH terhadap kerajaan. Ini benih-benih yang menyebabkan politik tidak stabil pada tahun-tahun berikutnya,” katanya.

“Nampak terlalu banyak tali-tali bersimpul antara kumpulan dan individu dalam parti-parti politik.”