- Iklan -
Berita

WHO bimbang ‘tsunami’ varian Covid landa sistem kesihatan

WHO bimbang varian Omicron dan Delta menyebabkan peningkatan kemasukan hospital sehingga menyesakkan kemudahan kesihatan.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus. Gambar: AP
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus. Gambar: AP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran “tsunami” kes varian Covid-19 bakal meningkatkan tekanan terhadap sistem kesihatan ketika peningkatan kes mendadak dicatat di seluruh dunia.

Peningkatan mendadak itu adalah berikutan penularan varian Delta dan Omicron di mana Amerika Syarikat, Perancis dan Denmark merekodkan lonjakan kes harian.

Lonjakan kes secara mendadak turut meningkatkan kadar kemasukan ke hospital dan kes kematian.

Menurut WHO, angka kes ketika ini adalah yang paling tinggi pernah dicatatkan sejak Mac 2020.

“Saya amat bimbang Omicron yang lebih mudah menular, bergerak pada masa sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes.

“Keadaan ini akan terus memberi tekanan besar kepada pekerja kesihatan yang sudah keletihan, sekali gus meletakkan sistem kesihatan di ambang kehancuran,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media.

Eropah menyaksikan lonjakan kes paling buruk sehingga memaksa kerajaan terpaksa berdepan pilihan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi mengurangkan beban hospital selain terpaksa mengimbanginya dengan langkah lain bagi memastikan sektor ekonomi dan sosial turut aktif selepas hampir dua tahun pandemik melanda.

Di Amerika Syarikat, varian Omicron telah menyebabkan hospital sesak dengan pesakit baru, merekodkan purata seminggu kes baru paling tinggi dengan 265,427 jangkitan, menurut Universiti Johns Hopkins.

WHO berharap tahun depan akan menamatkan tahap buruk pandemik dan pada masa sama memberi amaran bahawa usaha menamatkan pandemik bergantung pada ekuiti vaksin lebih besar.

WHO mahu 40% penduduk di setiap negara diberi vaksin sepenuhnya menjelang akhir tahun dan mempunyai sasaran vaksinasi meliputi 70% populasi menjelang pertengahan 2022.

Tedros menegaskan 92 daripada 194 negara anggota WHO akan terlepas sasaran 40% vaksinasi lengkap.

“Ini disebabkan bekalan terhad ke negara berpendapatan rendah sepanjang tahun selain vaksin hampir tamat tempoh dan tanpa bahagian penting seperti picagari,” katanya.

“Ia bukan sahaja memalukan, malah mengorbankan nyawa dan memberikan virus itu peluang untuk menular tanpa kawalan dan bermutasi. Pada tahun hadapan, saya menyeru pemimpin kerajaan dan industri untuk menunaikan janji mengenai ekuiti vaksin.

“Walaupun 2021 adalah sukar, saya meminta semua orang membuat azam Tahun Baru untuk menjayakan kempen vaksinasi 70% menjelang pertengahan 2022.”