- Iklan -
Berita

Mangsa banjir di 4 negeri kekal, Melaka catat penurunan

Jumlah mangsa di Selangor kekal seramai 2,281 individu dari 563 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk Kampung Bukit Lancung di Selangor mengumpulkan barangan yang boleh dipakai selepas air banjir surut.
Seorang penduduk Kampung Bukit Lancung di Selangor mengumpulkan barangan yang boleh dipakai selepas air banjir surut.

Jumlah mangsa banjir di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan masih kekal, manakala di Melaka mencatatkan penurunan pagi ini.

Di Selangor, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa di negeri itu setakat pagi ini masih kekal 2,281 individu dari 563 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang mencatatkan bacaan di paras amaran iaitu pada ketinggian 3.61m setakat 7 pagi dan kini dalam trend menurun.

Polis Selangor memaklumkan lima jalan di negeri itu masih ditutup setakat 4 pagi tadi untuk laluan kenderaan iaitu melibatkan jalan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting; Jalan Kampung Kalong Tengah, Ulu Yam Baru dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Di Negeri Sembilan, Pengarah APM negeri Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu kekal kepada 29 individu dari sembilan keluarga berada di sebuah PPS di Jelebu setakat pagi ini.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri melaporkan sejumlah 5,987 mangsa banjir masih berada di 42 PPS di lima daerah pada pagi ini.

Daerah terlibat ialah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca hujan di semua daerah terbabit pada pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal 31 orang dari lima keluarga melibatkan satu PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh di Pasir Mas, setakat 7 pagi ini.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

Manakala di Melaka, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan kepada 16 orang dari empat keluarga setakat 8 pagi tadi berbanding 26 orang dari lapan keluarga pada 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa terlibat ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Benteng di Jasin.