- Iklan -
Berita

Parti baru Peter Anthony bakal pecah belahkan rakyat Sabah, kata Shafie

Menurut Shafie, dakwaan Peter Anthony yang mahu Sabah dipimpin parti berpangkalan di negeri itu bercanggah dengan tindakannya bekerjasama dengan GRS yang terdiri daripada parti nasional dan tempatan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama
Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal. Gambar: Bernama

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal hari ini menyatakan kekesalan dengan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Peter Anthony yang mahu menubuhkan parti baru, mengatakan ia bakal memecah-belahkan perpaduan rakyat Sabah.

Shafie berkata tindakan Anthony meninggalkan Warisan adalah sesuatu tidak mengejutkan malah sudah dijangka berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.

“Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Anthony yang merupakan naib presiden Warisan mengumumkan beliau keluar dari parti dan mahu menubuhkan parti pelbagai kaum berpangkalan di Sabah.

Katanya, parti baru itu juga ditubuhkan demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah selepas melihat Warisan jauh tersasar daripada perjuangannya apabila ia melebarkan sayap parti ke semenanjung.

Menurut bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu, rakyat Sabah memerlukan satu parti yang benar-benar memperjuangkan hak warganya.

Pengumuman keluar Warisan itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkannya membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Anthony juga menolak dakwaan kononnya tindakannya keluar parti adalah disebabkan kes mahkamah yang dihadapinya ketika ini.

Dalam pada itu, Shafie menyifatkan hasrat Anthony menubuhkan parti baru tempatan pelbagai kaum itu bercanggah dengan tindakannya yang turut menyertai kerajaan negeri yang terdiri daripada gabungan parti tempatan dan semenanjung.

“Dalam sidang media, Peter berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.

“Bagaimanapun ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai GRS yang terdiri daripada parti nasional dan parti tempatan.

“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar,” kata Shafie.

Selain Anthony, Adun Limbahau Juil Nuatim turut meninggalkan Warisan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, Anthony mempertahankan kerusi DUN Melalap setelah memperoleh 5,694 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jamawi Jaafar yang memperoleh hanya 3,526 undi.

Beliau memenangi kerusi Melalap itu menggunakan tiket Warisan dan memperolehi majoriti 1,719 undi dalam saingan enam penjuru.

Berhubung kesnya di mahkamah, pembelaan diri diarahkan mahkamah terhadap beliau ditetapkan pada 3 hingga 7 Januari 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.