- Iklan -
Berita

Indonesia kesan kes pertama jangkitan tempatan varian Omicron

Setakat ini, Indonesia merekodkan 47 kes Omicron, 46 kes adalah kes import dan satu jangkitan tempatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menjalani ujian swab Covid-19 ketika sampai di Tangerang dari Jakarta. Gambar: AP
Seorang lelaki menjalani ujian swab Covid-19 ketika sampai di Tangerang dari Jakarta. Gambar: AP

Kementerian kesihatan Indonesia mengesan kes pertama jangkitan tempatan varian Omicron Covid-19 pada seorang lelaki berusia 37 tahun dari bandar Medan.

Lelaki itu dan isterinya, yang melawat Jakarta sebulan sekali, tiba di ibu negara pada 6 Disember dan berkunjung ke Pusat Beli-belah Ashta District 8 di Daerah Pusat Perniagaan Sudirman, Jakarta Selatan pada 17 Disember.

Berikutan itu, kementerian sedang menjalankan pengesanan kontak menyeluruh di kawasan itu untuk menghentikan varian itu daripada merebak, kata jurucakap kementerian itu Dr Siti Nadia Tarmidzi.

Bercakap pada sidang media maya, beliau berkata lelaki itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tanpa gejala kini dikuarantin di hospital.

Menurut Dr Siti Nadia, ujian swab antigennya didapati positif pada 19 Disember, manakala isterinya negatif, sambil menambah sampel itu kemudian dihantar ke Makmal GSI, dan keputusan yang diperoleh pada 26 Dis menunjukkan positif Omicron.

Dengan perkembangan terbaru itu, Indonesia merekodkan 47 kes Omicron, 46 kes adalah kes import dan satu jangkitan tempatan.