- Iklan -
Berita

DAP Sarawak akui tidak kotakan janji selepas prestasi buruk PRN

Pengerusi DAP Sarawak berkata ia menyebabkan masyarakat Cina hilang keyakinan terhadap DAP.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana perang bendera ketika PRN Sarawak baru-baru ini. DAP menerima kekalahan teruk pada PRN kali ini dengan hanya dapat mengekalkan dua kerusi yang disandangnya.
Suasana perang bendera ketika PRN Sarawak baru-baru ini. DAP menerima kekalahan teruk pada PRN kali ini dengan hanya dapat mengekalkan dua kerusi yang disandangnya.

DAP Sarawak hari ini memohon maaf selepas prestasi buruk yang ditunjukkan parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dua minggu lalu dengan hanya memenangi dua kerusi dari 22 kerusi yang ditandinginya.

Bercakap pada sidang media di Kuching, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata kegagalan parti itu untuk mengotakan janji sepanjang 22 bulan mengambil alih kuasa pentadbiran Putrajaya menjadi faktor utama kekalahannya.

Beliau menambah perkara itu telah menyebabkan masyarakat Cina hilang keyakinan terhadap DAP.

Chong turut berkata peratusan keluar mengundi yang rendah dan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat Cina di bandar menunjukkan perubahan sentimen pengundi dan respons mereka terhadap janji-janji yang tidak dikotakan menyebabkan parti itu kehilangan lebih banyak kerusi yang disandangnya.

“Peratusan keluar mengundi dan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat Cina bandar sangat jelas,” katanya

“Bagaimanapun, kami terima dan hormat keputusan yang diambil para pengundi.”

Beliau turut mengatakan kadar keluar mengundi yang rendah dan perpecahan undi berlaku adalah disebabkan kekecewaan pengundi di banyak kawasan.

“Sentimen itu lahir kerana sepanjang 22 bulan memegang pentadbiran pusat, DAP dan Pakatan Harapan tidak berjaya mengotakan hasrat rakyat,” kata Chong.

“Walaupun kami memulakan banyak perubahan dalam sistem kerajaan dan memperkenalkan langkah-langkah tadbir urus yang baik dan mesra rakyat, kami masih gagal memenuhi harapan rakyat ketika menjadi kerajaan.”

Beliau berkata DAP menerima kekalahannya dan akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.

“Untuk mereka yang terus menyokong DAP, kami ucapkan terima kasih dengan seikhlas hati di atas sokongan dan keyakinan yang anda berikan kepada kami.

“Bagi mereka yang mengundi DAP pada 2018 untuk melakukan perubahan kerajaan namun tidak lagi mengundi DAP pada PRN kali ini kerana tidak memenuhi harapan anda, kami mohon maaf kerana gagal mengotakannya.”

DAP hanya mampu mengekalkan dua kerusi, Padungan dan Pending disandangnya pada PRN Sarawak yang diadakan pada 18 Disember lalu.

Padungan dimenangi Chong, sementara Pending berjaya dimenangi penyandangnya sebelum ini Violet Yong.

Keputusan itu sangat ketara berbanding kemenangan DAP di tujuh kerusi pada PRN 2016, dan sebelum itu menyandang 12 kerusi pada 2011.