- Iklan -
Berita

Simpanan persaraan makin susut, KWSP beri amaran ketika gesaan mudahkan pengeluarannya

Majoriti yang membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan Bumiputera.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
KWSP terikat dengan undang-undang dalam pengurusan wang caruman pencarum. Gambar: Bernama
KWSP terikat dengan undang-undang dalam pengurusan wang caruman pencarum. Gambar: Bernama

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi amaran perlindungan sosial mencapai kadar maksimumnya selepas beberapa kali dibenarkan untuk dikeluarkan berikutan krisis Covid-19, ketika ahli-ahli politik Umno menggesa simpanan wang persaraan diwajibkan bagi membenarkan pencarum mengeluarkan wang caruman berikutan banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

KWSP berkata walaupun caruman boleh dikeluarkan sepanjang sekatan pergerakan bagi membendung wabak, namun ia tidak boleh dilaksanakan kerana terikat dengan undang-undang yang memberikan panduan bagaimana caruman pencarum diuruskan.

“Skala dan kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksima, dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan,” kata KWSP dalam sebuah kenyataan hari ini.

Peringatan dari KWSP itu tampil ketika beberapa ahli politik terutama dari Umno menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran caruman seperti skim pengeluaran yang diperkenalkan bagi mengurangkan impak beberapa sekatan pergerakan terhadap ekonomi ketika kemuncak krisis Covid-19.

Antara pemimpin Umno yang lantang menggesa supaya KWSP membenarkan pengeluaran caruman oleh pencarum tersebut adalah bekas perdana menteri Najib Razak.

Semalam, beliau melancarkan serangan terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kerana menolak untuk membenarkan dana KWSP dikeluarkan berikutan bencana banjir yang melanda negara.

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” katanya, merujuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Dengarlah rintihan rakyat. Last sekali pengeluaran khas. Lepas itu, fokus untuk bina balik simpanan pendeposit baki rendah dalam KWSP. Banyak caranya.”

Sejak tahun lalu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa skim pengeluaran simpanan KWSP termasuk i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Namun KWSP berkata langkah tersebut telah menyebabkan sejumlah RM101 bilion caruman dikeluarkan melibatkan 6.1 juta pencarum di mana ia juga menyebabkan mereka kini hanya memiliki simpanan kurang dari RM10,000 manakala 3.6 juta lagi pencarum kini memiliki simpanan kurang dari RM1,000.

Agensi itu juga berkata majoriti pencarum yang mengeluarkan simpanan adalah daripada kalangan Bumiputera.

“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54% ahli Bumiputera kini mempunyai kurang dari RM10,000, dan 2.0 juta atau 25% mempunyai kurang dari RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Sementara itu, KWSP berkata ia sebagai badan pemegang amanah mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak.

KWSP juga bimbang keyakinan pencarum semakin meleset terhadap kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan pencarumnya yang berusia antara 55 dan 60 tahun, yang pada bila-bila masa boleh mengeluarkan simpanan KWSP mereka yang berjumlah RM270 bilion.

Menurutnya, Malaysia yang akan menjadi negara menua pada 2030 mungkin bermaksud lebih berat beban sistem sokongan kerajaan.

“Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.”

KWSP juga berkata ia akan meneruskan tanggungjawab osialnya untuk membantu mangsa banjir melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), di mana badan-badan berkaitan kerajaan diberikan geran kerajaan untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan.

KWSP turut menambah penggunaan dana GDRN tidak akan memberikan kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan tersebut adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan.

“Bantuan akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.