- Iklan -
Berita

Naib presiden Warisan umum keluar parti

Adun Melalap itu juga sedang berdepan mahkamah berhubung kes pemalsuan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di UMS.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama
Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah Peter Anthony. Gambar: Bernama

Naib Presiden Warisan Peter Anthony mengumumkan keputusannya untuk keluar parti sekali gus menubuhkan parti baru.

Anthony yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap itu turut dipetik Bernama, mengatakan parti yang bakal ditubuhkan itu akan bekerjasama dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada 14 Disember, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Anthony yang juga bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah ketika Warisan menerajui kerajaan negeri untuk membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Anthony, 50, di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 7 Januari 2022 untuk tertuduh membela diri.

Mengikut pertuduhan, Anthony, sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Anthony didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.