Saturday, January 29, 2022

‘Halal’, kata agamawan selepas perdebatan berhubung makanan sumbangan bukan Islam

Bekas menteri berkata tidak ada masalah untuk seorang Muslim makan masakan disediakan bukan Islam, sementara seorang mufti negeri berkata ia diharuskan hanya ketika tidak ada pilihan lain.

Other News

Tokoh agama berbeza pandangan berhubung makanan dimasak bukan Islam ketika perdebatan di media sosial timbul selepas banjir melanda Lembah Klang baru-baru ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam dibenarkan memakan masakan yang disediakan bukan Islam yang tidak tergolong sebagai ahli kitab selagi ia tidak melibatkan haiwan yang disembelih.

Ahli kitab merujuk penganut agaman Kristian dan Yahudi.

Penjelasan itu dibuat susulan pertikaian mengenai penerimaan makanan yang disumbangkan oleh komuniti Sikh kepada mangsa-mangsa banjir dalam kalangan umat Islam.

Zulkifli yang merupakan bekas mufti Wilayah Persekutuan juga turut dilihat cuba menghentikan perdebatan tersebut.

“Penganut Sikh mengamalkan diet vegeterian.

“Ini bermakna, mereka sama sekali tidak menjamah daging,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter baru-baru ini.

Sejak 19 Disember, pihak Gurdwara Sahib di Petaling Jaya bersama sukarelawan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk umat Islam bersama-sama menyediakan makanan panas untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir sekitar Lembah Klang.

Usaha murni ini ekoran kejadian banjir yang melanda lapan negeri di Malaysia yang menyebabkan ramai terputus bekalan makanan selain mengalami kerugian hingga ratusan ribu ringgit disebabkan bencana itu.

Malah, beberapa kawasan di Selangor seperti Taman Sri Muda di Shah Alam lumpuh apabila rumah penduduk ditenggelami air yang meningkat hingga ke paras bumbung.

Bagaimanapun usaha murni menyediakan makanan itu menjadi pertikaian segelintir pengguna media sosial yang mempersoalkan status halal dan hukum menerima makanan tersebut.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad, menjelaskan hukum bagi memakan makanan masakan orang bukan Islam disebabkan terputus bekalan makanan atau berada dalam keadaan darurat adalah harus.

Beliau berkata, ini juga termasuk bagi memakan makanan yang disembelih seperti ayam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keadaan ini hanya dibenarkan apabila tiada pilihan makanan halal.

“Dalam keadaan untuk menyelamatkan nyawa dan tiada lagi pilihan lain, ia diharuskan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.

“Jika ada pilihan lain seperti roti atau buah-buahan, maka mestilah mengambil yang dipercayai halal.”

Mengulas lanjut, Yusof menjelaskan, masakan bukan Islam yang diragui status halalnya adalah kerana kemungkinan dicampur dengan bahan yang tidak suci seperti arak dan lain-lain.

Tambahnya, apabila individu itu mempunyai pilihan, maka dia tidak berada dalam keadaan darurat dan tidak boleh mengambil masakan yang dipercayai tidak halal.

“Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu (dari segi halal/suci) kepada sesuatu yang tidak meragukanmu,” katanya yang memetik hadis Nabi Muhammad.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles