- Iklan -
Berita

Dos penggalak Pfizer, AZ boleh diberi 3 bulan selepas suntikan kedua

Tempoh antara dos kedua dan suntikan penggalak untuk kedua-dua vaksin itu pada asalnya ditetapkan selama enam bulan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Vaksinasi penggalak mula diberikan kepada penerima vaksin lengkap bagi mengekalkan tahap imuniti melawan virus Covid-19 yang kini bermutasi kepada beberapa varian yang lebih mudah menular.
Vaksinasi penggalak mula diberikan kepada penerima vaksin lengkap bagi mengekalkan tahap imuniti melawan virus Covid-19 yang kini bermutasi kepada beberapa varian yang lebih mudah menular.

Kementerian kesihatan (KKM) memutuskan sela masa pengambilan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca (AZ) adalah sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menerima dos kedua vaksin tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan diambil ekoran hasil data kajian melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak yang dijalankan di United Kingdom (UK), menunjukkan keputusan yang meyakinkan.

Sejajar dengan kajian itu, beliau berkata, badan regulatori seperti di UK, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi penerimaan vaksin dos penggalak diberi seawal tiga bulan selepas dos kedua vaksin primer.

“Kumpulan kerja teknikal juga telah menilai bukti sedia ada dan memberi saranan baru mengenai dos penggalak Covid-19.

“Oleh demikian, di Malaysia, kita telah buat keputusan bahawa sela masa bagi vaksinasi dos penggalak bagi vaksin Pfizer dan AZ boleh diberi sekurang-kurangnya tiga bulan,” katanya pada sidang media secara hibrid, hari ini.

Sebelum ini, KKM memaklumkan sela masa penerimaan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan AZ adalah sehingga enam bulan manakala penerima vaksin Sinovac adalah 3 bulan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM akan memberi janji temu kepada mereka yang layak berdasarkan kepada keutamaan mengikut usia dan status kesihatan.

Katanya, KKM turut menjangkakan bahawa sebahagian besar daripada golongan dewasa di Malaysia yang layak akan menerima suntikan dos penggalak pada Januari dan Februari depan.

“KKM akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin dengan pembukaan lebih banyak lagi pusat pemberian vaksin (PPV) sama ada di klinik swasta atau PPV yang akan dibuka tidak lama lagi di dewan persidangan seperti yang dilakukan ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.

“Dalam usaha kita memberi temu janji, kita akan guna senarai keutamaan kepada mereka yang berusia dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” ujarnya.

Menurut Khairy, vaksin Pfizer dan AZ akan diutamakan bagi pemberian dos penggalak manakala vaksin Sinovac boleh dipilih menerusi pasaran swasta atau sekiranya individu tersebut mempunyai saranan doktor untuk hanya menerima vaksin itu.

Sementara itu, Khairy turut memaklumkan bahawa hasil daripada data kajian klinikal dan kajian Real World telah menunjukkan tahap keberkesanan vaksin terhadap jangkitan Covid-19 berkurangan dengan masa.

Tambahnya, data terkini menunjukkan varian Omicron boleh menyebabkan penularan jangkitan kebolehupayaan pengikatan virus dan kelolosan antibodi yang lebih tinggi daripada imuniti disebabkan vaksin atau jangkitan semula jadi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa bukti yang dikumpul sejak 3 minggu lalu telah menunjukkan bahawa vaksin penggalak Covid-19 berkemungkinan meningkatkan perlindungan terhadap varian Omicron.

Beliau turut mengambil contoh daripada data yang diperoleh di Sarawak yang menunjukkan keberkesanan dos penggalak untuk menentang varian Omicron dan juga melandaikan jangkitan Covid-19.

“Hasil daripada pemberian dos penggalak di Sarawak yang bermula 13 Oktober lalu, bilangan kes yang dilaporkan telah menunjukkan trend penurunan sejak dua bulan lalu dan mencatatkan kurang daripada 1,000 jangkitan seminggu.

“Angka kematian disebabkan Covid-19 juga menunjukkan penurunan daripada 497 pada Oktober kepada 24 kes pada Disember 2021,” katanya dan menambah bahawa Sarawak merupakan negeri tertinggi bagi pengambilan dos penggalak apabila 53.5% penduduk dewasanya telah mengambil dos tambahan vaksin itu.