- Iklan -
Berita

Tanah runtuh berhampiran UIAM, 128 pelajar diarah kosongkan asrama

Kejadian mendapan jalan dan tanah runtuh itu dikesan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota bomba memeriksa kawasan asrama pelajar UIAM. Kejadian tanah runtuh dikesan berlaku petang semalam. Gambar: Twitter
Anggota bomba memeriksa kawasan asrama pelajar UIAM. Kejadian tanah runtuh dikesan berlaku petang semalam. Gambar: Twitter

Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya bergegas ke lokasi untuk membuat pemantauan selepas menerima laporan pada kira-kira pukul 9 malam tadi mengenai kejadian itu.

Beliau berkata kejadian dikesan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam berikutan aduan pelajar di kawasan berkenaan, dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah sekitar lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter.

“Setakat ini tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai (bangunan) ditemui,” katanya hari ini.

Norazam berkata pihak pengurusan UIAM telah bertindak menutup kawasan itu dengan kon serta pita keselamatan.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam UIAM Roslan Rusly berkata kejadian tanah runtuh berkenaan dikesan di Mahallah Zubair Al-Awwam, sementara mendapan tanah berlaku berhampiran Mahallah Ruqayyah berikutan hujan lebat selama kira-kira 45 minit di kawasan itu semalam.