- Iklan -
Berita

Projek ‘Forest City’ hanyalah propaganda PH untuk jatuhkan BN, kata Najib

Najib turut menyelar PH kerana mengubah pendirian terhadap projek tersebut yang dikatakan memberi impak positif kepada negara.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Najib Razak mendakwa projek pembangunan Forest City yang diperkenalkan pada 2006 di Johor Bahru dijadikan sebagai alat propaganda oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketika berucap pada Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) di Petaling Jaya hari ini, ahli Parlimen Pekan itu turut menyelar PH kerana mengubah pendirian terhadap projek tersebut yang dikatakan memberi impak positif kepada negara.

Beliau berkata, sebelum PRU144 pada 2018, Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan bahawa kerajaan BN menggadaikan kedaulatan negara kepada China serta menawarkan 700,000 kerakyatan kepada warga China untuk berpindah ke Forest City.

“Jelas sekali ini adalah penipuan melampau dan bersifat perkauman. Beliau (Mahathir) juga berjanji untuk membatalkan projek itu sekiranya mereka mengambil alih kuasa selepas PRU-14,” katanya.

“Bagaimanapun, selepas pilihan raya 2018, beliau mengubah pendiriannya, tiba-tiba mengatakan, projek Forest City menyumbang kepada kerajaan, menghasilkan peluang pekerjaan, mempromosi pemindahan teknologi dan inovasi dan memanfaatkan pertumbuhan ekonomi negara.”

Ini merupakan kemunculan pertama Najib di forum terbuka selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah Mahkamah Tinggi terhadapnya pada awal bulan ini.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib terhadap sabitan dan hukumannya bagi beberapa pertuduhan melibatkan kira-kira RM42 juta dana SRC International, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah bagi tujuh pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan penghakiman secara sebulat suara pada 8 Disember.

Karim bersama hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin turut berkata tindakan Najib berhubung dana RM42 juta SRC International bukan sesuatu tindakan demi kepentingan negara, sebaliknya memalukan negara.

Mengulas lanjut, Najib turut meluahkan rasa kecewa apabila menyatakan Mahathir hadir majlis penyerahan sijil penghargaan kepada syarikat yang membangunkan projek Forest City.

“Bayangkan, daripada (tuduhan) menjual kedaulatan negara bertukar kepada penyerahan penghargaan dalam tempoh setahun,” tambahnya.

Selain itu, Najib turut mendakwa, pengambilalihan pentadbiran PH menjejaskan keyakinan pelabur China terutama apabila projek ECRL dan dua projek berkaitan minyak dan gas yang dirancang oleh negara itu telah ditangguh.

Beliau berkata, perkara ini dapat dilihat menerusi aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang mencatatkan penurunan kepada RM30.7 bilion pada 2018 berbanding RM40.4 bilion pada tahun sebelumnya – tahun terakhir pentadbiran kerajaan BN.

“Pada 2019, aliran FDI meningkat kepada RM32.4 bilion, namun masih rendah berbanding pencapaian 2017.”

“Sekali lagi ia mencatatkan trend penurunan pada 2020 apabila aliran masuk bersih menyusut kepada RM14.6 bilion, merosot 55% berbanding 2019 dan merupakan angka terendah sejak 2009,” katanya.

Tambah beliau, walaupun projek ECRL disambung semula menerusi syarat yang diperbaharui, kerajaan PH juga mengambil pendirian yang berbeza apabila mengakui pelaburan dan keupayaan teknologi dari China menawarkan peluang kepada pembangunan ekonomi negara.