- Iklan -
Berita

Polis nafi halang sambutan Krismas di KL

Polis meronda kawasan ibu negara bagi memantau kawasan tumpuan orang ramai agar SOP tetap dipatuhi ketika musim perayaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis memantau pergerakan pengunjung pada malam tahun baru 2021 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Anggota polis memantau pergerakan pengunjung pada malam tahun baru 2021 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Polis hari ini menafikan dakwaan sebuah video tular yang menyatakan anggota polis dan tentera menghalang sambutan Krismas di ibu negara, mengatakan ia adalah rondaan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan berkata, apa yang dipaparkan dalam video itu berlaku pada malam sambutan Krismas di ibu negara di mana polis mendapat bantuan sokongan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

“IPD Dang Wangi telah menjalankan penugasann rondaan keselamatan bagi penguatkuasaan pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di lokasi tumpuan ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“(Rondaan dilakukan) dengan bantuan sumber manusia dari PGA PDRM dan bukannya pasukan tentera seperti mana yang dinyatakan dalam video TikTok tersebut.”

Video yang berdurasi seminit 34 saat itu dimuat naik oleh pengguna @jamalali866 di akaun Tiktok dengan mengatakan pihak polis dan tentera menghalang sambutan Krismas minggu lalu.

Ia kemudian tular dan mendapat reaksi dalama kalangan pengguna media sosial.

Dalam pada itu, Dellhan berkata pasukan pematuhan digerakkan ke lokasi tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai bagi mencegah sebarang aktiviti yang melanggar SOP penjarakan fizikal Covid-19.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan bagi membendung Covid-19.

“Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.”